Tuisyen Rakyat Selangor berdepan kekangan capaian di luar bandar - ADUN Permatang

KUALA SELANGOR – Inisiatif Program Tuisyen Rakyat Selangor berdepan kekangan capaian khususnya di kawasan luar bandar apabila masih terdapat jurang dari segi penyampaian maklumat, kemudahan serta akses internet dalam kalangan pelajar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, walaupun program itu memberi manfaat kepada pelajar, masih terdapat jurang dari segi penyampaian maklumat serta akses dalam kalangan masyarakat luar bandar.
"Capaian maklumat mengenai program ini masih belum meluas menyebabkan ramai yang tidak mengetahui kewujudannya.
"Selain itu, masalah internet yang tidak stabil turut menjadi antara cabaran utama untuk pelajar mengikuti program ini,” katanya selepas menghadiri Program Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Tanjong Karang di sini pada Jumaat.
Nurul Syazwani memberitahu, kekangan kemudahan seperti komputer dan komputer riba dalam kalangan pelajar luar bandar turut menjejaskan penyertaan mereka untuk mengikuti tuisyen rakyat.
"Ramai pelajar bergantung kepada kemudahan di sekolah, namun dengan jumlah pelajar yang ramai, kemudahan sedia ada kadangkala tidak mencukupi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, program kecemerlangan SPM yang dianjurkannya bertujuan memberi suntikan semangat kepada pelajar luar bandar agar terus berjaya dalam bidang pendidikan.
Katanya, seramai 105 pelajar yang memperoleh keputusan 5A ke atas diraikan, termasuk yang mencatat pencapaian sehingga 10A, 11A dan 12A.
“Program ini juga diharap dapat melahirkan lebih ramai golongan profesional dari Tanjong Karang pada masa akan datang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

