MAIS raih pengiktirafan global hasil tadbir urus telus

KUALA LUMPUR – Ketelusan dalam pengurusan Baitulmal dan dana hal ehwal Islam menjadi faktor utama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Menurut MAIS, kejayaan itu turut didorong pematuhan tegar terhadap Piawaian Perakaunan Islam Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW) yang menjadi asas kepada tadbir urus kewangan Islam yang telus dan berintegriti.
MAIS terdahulu melakar pencapaian apabila dinobatkan sebagai penerima The BrandLaureate World Halal BestBrands Awards 2026 pada majlis anjuran The World Brands Foundation di sini pada malam Selasa.
Setiausahanya, Mohd Sabirin Mohd Sarbini menerima anugerah mewakili MAIS, sekali gus mengiktiraf peranan institusi itu dalam menerajui ekosistem halal khususnya dalam aspek kewangan Islam dan pengurusan harta.
"Ketelusan dalam pengurusan Baitulmal dan dana hal ehwal Islam menjadi faktor utama kejayaan ini, selain pematuhan tegar terhadap PPIBZW,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
MAIS berkata, kecekapan tersebut turut dibuktikan apabila berjaya mengekalkan Sijil Kewangan Bersih daripada Jabatan Audit Negara setiap tahun, sekali gus meningkatkan keyakinan awam terhadap pengurusan dana yang patuh syariah.
Dalam pada itu, MAIS menegaskan, pengiktirafan itu selari dengan kedudukannya sebagai pihak berkuasa utama pentadbiran Islam negeri selepas Sultan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003.
Selain itu, institusi berkenaan turut menyediakan perkhidmatan perancangan dan pengurusan harta termasuk wasiat, hibah serta pembahagian pusaka.
Menerusi Pelan Hala Tuju Ekonomi MAIS (HATEM) 2025-2030, MAIS merancang mengoptimumkan aset Baitulmal, di samping memanfaatkan teknologi digital seperti Sistem Wasiat Hibah (SISWA) dan e-Faraid.
Tambah kenyataan itu, sinergi ekosistem Islam Selangor turut diperkukuh melalui Pelan Hala Tuju Islam Selangor (HATIS) 2025-2030 yang digubal bersama Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor serta rakan strategik lain.
"Penganugerahan ini mengukuhkan lagi kedudukan MAIS sebagai pembuat dasar berkenaan hal ehwal pentadbiran Islam negeri, dan badan yang komited memastikan kelestarian ekosistem sosial dan ekonomi umat Islam," jelas kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

