World #QuranHour 2026 berlangsung di 696 lokasi di Malaysia, 13 di luar negara

Al-Sultan Abdullah mencemar duli hadir menyertai WQH 2026 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM Gombak pada Rabu.
Al-Sultan Abdullah mencemar duli hadir menyertai WQH 2026 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM Gombak pada Rabu.
A
A
A

GOMBAK – Program World #QuranHour (WQH) 2026 berlangsung di sebanyak 696 lokasi berdaftar di seluruh Malaysia serta 13 lokasi berdaftar di luar negara pada Rabu sekali gus mencerminkan bagaimana gelombang penghayatan al-Quran yang bermula dari Malaysia kini semakin berkembang merentasi sempadan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, lokasi berdaftar di luar negara termasuklah di Kedutaan Malaysia di Doha; Paris; Vietnam dan Belanda; Masjid PUSDAI Bandung, Indonesia; Rumah Ngaji Mekah, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City serta di Amerika Syarikat.

Malah, lebih istimewa peserta dari Mekah turut menunaikan tawaf selepas Zohor setelah mengikuti WQH pada waktu Subuh.

“Untuk di lokasi perdana di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antrabangsa Malaysia (UIAM), seramai 4,000 peserta menyertai program ini.

“Setakat ini juga sudah tujuh kali kita laksanakan WQH di UIAM dan kita nampak perkembangannya apabila ada bekas pelajar universiti ini merebut peluang memperkenalkan program ini di negara masing-masing,” katanya pada sidang akhbar selepas berakhirnya program WQH di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM di sini.

MARHAINI
MARHAINI

Bagaimanapun, Marhaini menegaskan, WUIF mengharapkan lebih ramai pelajar dan bekas pelajar tampil menyebarkan dan menggerakkan WQH kerana universiti menjadi tempat untuk melahirkan pemimpin.

WQH 2026 kali ke-11 tahun ini membawakan Surah al-Muzzammil sebagai surah tema, dengan misi ‘Membentuk manusia sebelum membina dunia’.

Artikel Berkaitan:

Buat julung kalinya, bagi lokasi perdana di UIAM, penganjuran WQH dilaksanakan dalam bahasa Inggeris, selaras dengan matlamat utama gerakan Quran itu untuk mengQurankan ummah agar kembali reset cara fikir (mindset) melalui 'Baca, Faham dan Amalkan Al-Quran'.

Penggunaan Bahasa Inggeris bertujuan meraikan kehadiran para duta dan wakil antarabangsa yang hadir menyertai program ini, antaranya dari Iran, Oman, Tajikistan, Rusia, Jordan, Afghanistan dan Iraq, yang sejak sekian lama konsisten menyokong pelaksanaan kempen #QuranHour.

Kira-kira 4,000 peserta mengikuti WQH 2026 di lokasi perdana Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM Gombak pada Rabu.
Kira-kira 4,000 peserta mengikuti WQH 2026 di lokasi perdana Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM Gombak pada Rabu.

Kehadiran mereka bukan sekadar simbol sokongan, tetapi juga membuka ruang pertukaran pandangan dan perkongsian hikmah daripada al-Quran.

Marhaini turut merafak sembah menjunjung kasih atas perkenan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mencemar duli berangkat ke tersebut.

Menurut beliau, keberangkatan baginda berdua amat bermakna dalam menyokong usaha menyemarakkan budaya membaca, memahami dan menghayati al-Quran dalam kalangan masyarakat.

Turut hadir, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah; Presiden UIAM, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; Rektor UIAM, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar; Pengasas WUIF, Hussamuddin Yaacub serta para duta.

Antara peserta yang hadir menyemarakkan WQH 2026.
Antara peserta yang hadir menyemarakkan WQH 2026.

Program anjuran WUIF itu turut dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dengan kerjasama UIAM selaku rakan penganjur.

WQH juga mendapat sokongan rakan sinergi seperti Pusat Pelancongan Islam (ITC), Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM), Karangkraf, Sinar Karangkraf, Rasuah Busters, Karya Bestari, Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, Rumah Ngaji, Sahabah Al-Quran, serta badan kerajaan dan bukan kerajaan di dalam dan luar negara.

Astro Oasis bertindak sebagai penyiar utama, manakala rakan media yang turut menyokong WQH 2026 termasuk Sinar Harian, Sinar Islam, NU Ideaktiv, Media Prima, TV9, Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV AlHijrah, Astro Awani, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), IKIMFM, TVIKIM, Zayan, MYTV Broadcasting dan Denaihati.com.

 

Ringkasan AI

  • Program World #QuranHour 2026 berlangsung di 696 lokasi di Malaysia dan 13 lokasi luar negara
  • Marhaini Yusoff menyatakan lokasi berdaftar luar negara termasuklah di Kedutaan Malaysia dan masjid di beberapa negara
  • Di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM, 4,000 peserta menyertai program ini
  • WQH kali ini menampilkan Surah al-Muzzammil sebagai surah tema dengan misi 'Membentuk manusia sebelum membina dunia'
  • Bagi lokasi perdana di UIAM, penganjuran WQH dilaksanakan dalam bahasa Inggeris untuk meraikan kehadiran para duta dan wakil antarabangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!