OKU intelektual menangis mahu sertai World #QuranHour

KOTA BHARU – Seorang orang kurang upaya (OKU) intelektual, menangis kerana terlalu ingin menyertai World #QuranHour (WQH) yang berlangsung di Masjid As-Siddiqin, Mukim Panchor di sini pada Selasa.
OKU terbabit, Adibah Yaacob, 39, pada awalnya tidak dibenarkan oleh ibunya untuk mengikuti program tersebut kerana bimbang dengan keupayaan wanita itu.
Adibah yang tidak berhenti menangis dan menghantar gambar dirinya kepada ketua rombongan akhirnya meyakinkan pihak Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) Darul Quran, Pasir Pekan, Tumpat untuk membawanya bersama rombongan menaiki bas.

Adibah yang ditemui selepas mendengar sesi tadabbur Surah Al-Muzzamil pada program itu, menyatakan keazaman mahu mempelajari solat tahajud dan bangun tengah malam.
“Sekarang saya dah pandai solat Subuh dan Zuhur.
“Lepas ni saya nak belajar solat sunat tahajud dengan ustazah,” katanya.
Wan Maziah yang juga pengasas Darul Quran Pasir Pekan berkata, dia amat terharu dengan kesungguhan yang ditunjukkan wanita istimewa itu.
“Ini kali pertama dia ikut program WQH tapi Adibah ni memang dah lama bertekad mendalami al-Quran.

“Baru enam bulan dia mengikuti pembelajaran al-Quran, dia kini sudah mampu membaca Iqra empat dengan lancar,” katanya.
Menurut beliau, keluarga Adibah juga memainkan peranan terbaik dengan membantu menghantar wanita itu dari rumah mereka di Morak, Tumpat ke tempat mengaji Quran di Pasir Pekan menggunakan perkhidmatan e-hailing.
“Mereka bayar RM30 setiap hari ulang alik.
“Kesungguhan itu menandakan dia benar-benar mahu belajar al-Quran,” katanya.
Ringkasan AI
- Seorang OKU intelektual, Adibah Yaacob, menangis ingin menyertai World #QuranHour di Masjid As-Siddiqin, Kelantan
- Ibunya pada mulanya tidak membenarkannya mengikuti program kerana bimbang
- Adibah akhirnya dibenarkan bersama rombongan selepas menunjukkan kesungguhan
- Dia berazam untuk mempelajari solat tahajud dan bangun tengah malam
- Adibah dapat membaca Iqra empat dengan lancar setelah enam bulan belajar al-Quran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

