Suami berhutang, isteri menanggung: Keganasan rumah tangga 'senyap'

KEGANASAN rumah tangga sering tertumpu kepada kecederaan fizikal, namun satu dimensi yang semakin mendapat perhatian ialah penderaan kewangan seperti yang dilaporkan Sinar Harian.
Bentuk keganasan seperti itu tidak meninggalkan kesan zahir, tetapi menghimpit mangsa dalam diam.
Menurut Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Angkatan Belia Islam Malaysia (Helwa ABIM), Dr Fatin Nur Majdina Nordin, penderaan kewangan termasuk tindakan seperti memaksa isteri mengeluarkan wang, menyekat akses kepada akaun bank, kegagalan memberi nafkah, malah menggunakan nama pasangan untuk membuat pinjaman tanpa persetujuan.
Penderaan kewangan sering terlepas daripada radar kerana kesannya jauh lebih kompleks sehingga mangsa hilang keupayaan untuk berdikari.
Apabila sumber kewangan dikawal, mangsa cenderung kekal dalam hubungan toksik kerana kekangan untuk keluar, sekali gus menjejaskan kesejahteraan mental dan sosial dalam jangka panjang.
Dalam konteks ini, kesedaran terhadap hak undang-undang menjadi kunci, manakala saluran perundangan seperti Mahkamah Syariah menyediakan ruang untuk tuntutan nafkah dan perlindungan hak.
Dalam kes penyalahgunaan akaun bank, tindakan juga boleh diambil melalui institusi kewangan.
Langkah berkenaan penting bukan sahaja untuk menyelesaikan isu semasa, tetapi juga memberi kuasa kepada mangsa memahami dan mempertahankan hak mereka.
Isu penderaan kewangan tidak boleh ditangani secara bersendirian.
Masyarakat memainkan peranan penting sebagai ‘mata dan telinga’ dalam mengesan tanda-tanda seperti perubahan emosi, pengasingan sosial atau kesukaran memenuhi keperluan asas yang wajar diberi perhatian terhadap insan sekeliling.
Sokongan emosi dan psikologi daripada keluarga serta rakan boleh menjadi titik permulaan untuk mangsa keluar daripada situasi tersebut sebelum dirujuk kepada bantuan profesional.
Penderaan kewangan ialah realiti yang wujud dan menuntut pendekatan menyeluruh bermula daripada kesedaran awam, sokongan sosial hingga penguatkuasaan undang-undang.
Dalam landskap masyarakat moden, kebebasan kewangan bukan sekadar isu ekonomi, tetapi asas kepada maruah dan keselamatan individu.
Selagi penderaan ini tidak dikenali dan ditangani, selagi itulah ramai mangsa akan terus terperangkap dalam penderitaan yang tidak kelihatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
