Kisah Dicky bukti perpaduan tak pernah pudar

PERBINCANGAN tentang perpaduan kaum di Malaysia sebenarnya tidak perlu terlalu berat atau bersifat retorik semata-mata.
Jika dilihat dalam konteks kehidupan harian, perpaduan itu wujud secara semula jadi dan sering berlaku tanpa disedari.
Ia tidak semestinya hadir dalam bentuk program rasmi atau slogan besar sebaliknya lebih jelas melalui tindakan kecil yang lahir daripada keikhlasan.
Dalam banyak keadaan, perpaduan sebenar dapat dilihat apabila seseorang individu bertindak membantu tanpa mempersoalkan latar belakang kaum, agama atau status sosial.
Dalam hal ini, kisah Dicky Yau yang dilaporkan media menjadi contoh paling dekat dan mudah difahami.
Dalam kejadian tersebut, Dicky berdepan detik sukar apabila motosikalnya rosak di tengah jalan pada waktu malam.
Keadaan menjadi lebih mencabar apabila dia tidak mempunyai wang mencukupi untuk menanggung kos pembaikan.
Situasi itu bukan sahaja menimbulkan tekanan, malah boleh menjejaskan kelangsungan hidup hariannya.
Namun, apa yang berlaku selepas itu mengubah keseluruhan naratif.
Seorang lelaki Melayu yang merupakan mekanik tampil membantu tanpa banyak soal. Walaupun kos pembaikan bukanlah kecil bagi seseorang yang sedang berdepan kesempitan, mekanik tersebut memilih untuk tidak mengambil kesempatan.
Sebaliknya, dia membantu memperbaiki motosikal Dicky dan tidak mengambil sebarang bayaran.
Tindakan itu bukan sahaja meringankan beban Dicky malah memperlihatkan nilai empati yang semakin jarang diperkatakan dalam dunia yang serba pantas hari ini.
Kisah ini kemudiannya tular di media sosial sebelum mendapat liputan meluas di media masa. Reaksi masyarakat terhadap kisah tersebut juga sangat positif.
Ramai yang tersentuh dengan keikhlasan bantuan yang diberikan malah ada yang menyifatkannya sebagai contoh terbaik perpaduan sebenar rakyat Malaysia.
Apa yang menarik, kisah ini tidak dirancang untuk menjadi simbol perpaduan tetapi secara spontan telah mencerminkan realiti hubungan antara kaum di negara ini.
Jika dilihat secara lebih santai, kisah Dicky sebenarnya hanyalah satu daripada banyak lagi kisah serupa yang berlaku setiap hari.
Bezanya, tidak semua kisah ini dirakam atau menjadi tular. Di jalan raya, di kedai makan, di tempat kerja, sentiasa ada individu daripada pelbagai kaum yang saling membantu tanpa mengharapkan balasan.
Ada yang menolong menolak kereta rosak, ada yang berkongsi makanan dan ada juga yang sekadar menghulurkan bantuan kecil dalam situasi kecemasan.
Semua ini menjadi asas kepada perpaduan yang tidak kelihatan tetapi sangat kukuh.
Apabila orang ramai melihat contoh kebaikan yang dilakukan tanpa mengira kaum, ia secara tidak langsung mendorong mereka untuk melakukan perkara yang sama.
Dalam erti kata lain, perpaduan bukan sahaja wujud tetapi terus diperkukuh melalui pengaruh sosial yang positif.
Kesimpulannya, perpaduan antara kaum di Malaysia tidak pernah benar-benar pudar.
Ia mungkin tidak sentiasa kelihatan dalam bentuk besar atau dramatik tetapi sentiasa hidup dalam tindakan kecil yang dilakukan setiap hari.
Kisah Dicky dan bantuan seorang mekanik Melayu itu menjadi bukti jelas bahawa nilai kemanusiaan masih menjadi teras hubungan masyarakat.
Di sebalik segala perbezaan, rakyat Malaysia tetap berkongsi satu perkara yang sama iaitu keinginan untuk membantu dan hidup bersama dalam harmoni.
*Syajaratulhuda Mohd Rosli ialah Wartawan Sinar Harian Utara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

