Abang 'Minyak Hitam Jalanan', Dicky buat rakyat Malaysia tersentuh lagi

Suasana hiba ketika masing-masing menolak wang berkenaan.
Suasana hiba ketika masing-masing menolak wang berkenaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua lelaki yang sebelum ini tular susulan video yang dimuat naik menggunakan akaun Minyak Hitam Jalanan Original, sekali lagi mencuri perhatian umum apabila masing-masing saling menolak wang sumbangan hasil siaran langsung di media sosial.

Berdasarkan video di Facebook berkenaan, pemilik akaun yang juga merupakan mekanik memaklumkan Dicky, iaitu lelaki yang dibantunya sebelum ini dalam satu video tular, mahu menyerahkan RM3,000 sebagai infak.

Katanya, Dicky menerima 'gift' dianggarkan antara RM5,000 hingga RM6,000 hasil siaran langsung dan separuh daripadanya ingin diserahkan kepadanya bagi membantu golongan memerlukan.

"Abang ni sudah bagi kat saya, sebab ada orang rekod abang ni menyatakan abang ini nak bagi duit tu kepada saya, duit gift," katanya.

Dicky kemudian menjelaskan wang berjumlah RM3,000 hasil 'gift' diterimanya mahu diserahkan semula kepada mekanik berkenaan sebagai infak.

"Ini wang yang saya dapat dan ingin infak balik," katanya.

Bagaimanapun, mekanik berkenaan enggan menerima wang tersebut sebelum memujuk lelaki terbabit menyimpannya demi kegunaan keluarga selain digunakan untuk persekolahan anak lelaki terbabit.

Suasana seterusnya bertukar hiba apabila lelaki berkenaan dilihat sebak dan menangis ketika kedua-duanya saling menolak wang terbabit.

Sementara itu, di ruangan komen rata-ratanya meluahkan rasa gembira susulan situasi berkenaan mencerminkan nilai kemanusiaan yang masih subur dalam masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!