GSF 2.0: Matlamat lumpuh 'hasbara' terus diuji

MATLAMAT misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 untuk melumpuhkan 'hasbara' atau mesin propaganda palsu rejim Zionis di pentas dunia terus diuji apabila 22 dari keseluruhan 63 kapal dilaporkan dipintas pihak berkuasa Israel.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di perairan Mediterranean berhampiran Kepulauan Crete, Greece pada pagi Khamis (waktu tempatan) apabila kapal-kapal yang berada kira-kira 656 batu nautika dari pantai Gaza dihampiri secara agresif oleh tentera Israel.
Menurut Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, pihaknya mengesahkan seramai 10 rakyat Malaysia antara 186 peserta yang terputus hubungan.
Dalam konteks ini, penglibatan sukarelawan Malaysia memperlihatkan komitmen berterusan rakyat terhadap isu Palestin, khususnya dari sudut kemanusiaan.
Namun, keberanian ini datang dengan risiko yang amat tinggi.
Penahanan di perairan antarabangsa menimbulkan persoalan besar tentang bidang kuasa serta pematuhan prinsip kebebasan pelayaran yang menjadi asas undang-undang maritim global.
Bagi Malaysia, isu ini bukan sekadar melibatkan keselamatan, tetapi juga mencerminkan pendirian tegas negara terhadap perjuangan Palestin.
Kerajaan dijangka berdepan tekanan hebat untuk bertindak secara diplomatik bagi memastikan keselamatan dan pembebasan sukarelawan terlibat.
Justeru, hubungan baik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan negara Asia Barat diharap dapat membuka ruang kepada usaha diplomatik bagi membantu 10 delegasi GSF 2.0 Malaysia yang ditahan rejim Israel.
Tuntasnya, penahanan dalam GSF 2.0 bukan sekadar episod kemanusiaan, tetapi simbol pertembungan antara idealisme dan realiti geopolitik.
Selagi sekatan ke atas Gaza berterusan, misi seumpama ini dijangka takkan terhenti cuma risiko yang sama akan terus berulang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
