[VIDEO] 'Memang terkejut, tapi perkara nak jadi' - Siti Nurhaliza
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/776017/berita/hiburan/sekarang-baru-rasa-berdenyut---siti-nurhaliza-perlu-rehat-secukupnya
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.
#SinarHarian #BeritaSemasa #SitiNurhaliza">

SHAH ALAM - Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memaklumkan dirinya tidak mengalami sebarang kecederaan serius selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya MEX pada Khamis.
Menerusi hantaran terbaharu beliau di Instagram, penyanyi lagu "Kesuma" itu cuma mengalami bengkak pada kaki dan memerlukan rehat secukupnya.
Siti Nurhaliza yang masih dalam fasa terkejut turut menzahirkan ucapan terima kasih buat peminat kerana mendoakannya.
"Terima kasih semua yang mendoakan saya, memang agak terkejut juga tetapi perkara dah nak terjadi kan?
"Alhamdulillah, tiada kecederaan serius cuma kaki sahaja bengkak. Ligamen saya kot (mungkin), takut terkoyak.
"Jadi, saya dah buat pemeriksaan x-ray dan balut kaki ini, kena berehatlah... Sekarang baru rasa berdenyut. Harapnya cepat sembuh sebab saya ada acara. Terima kasih," kata Siti dalam video ringkas bersama anaknya, Muhammad Afwa Khalid.
Sebelum ini, seorang pengguna media sosial menerusi hantaran di Threads memaklumkan penyanyi nombor satu negara itu terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Malah, ada juga pengguna media sosial yang berkongsi foto Siti Nurhaliza bersama pembantunya berdiri di bahu jalan.
Pengurusnya, Rozi Sangdewi mengesahkan insiden itu dan berkata kepada media bahawa Siti Nurhaliza baharu sahaja pulang daripada membuat persembahan di RedQ AirAsia Sepang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
