PKR Kedah sambut baik langkah penjimatan kerajaan negeri

Tunku Nashrul Abaidah
Tunku Nashrul Abaidah
A
A
A

ALOR SETAR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah menyambut baik langkah Kerajaan Negeri mempercepatkan pelaksanaan kawalan perbelanjaan sebagai usaha menghadapi ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.

Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kedah, Tunku Nashrul Abaidah berkata, tindakan tersebut dilihat selari dengan pendekatan berhemah dan disiplin fiskal yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, walaupun langkah itu dianggap agak lewat, ia tetap merupakan perkembangan positif dalam memastikan pengurusan kewangan negeri lebih tersusun dan berdaya tahan.

“Tahniah kepada Menteri Besar Kedah yang akhirnya mengambil pendirian untuk selari dengan garis kepimpinan Perdana Menteri apabila mengumumkan Kerajaan Negeri akan turut melaksanakan dasar penjimatan dalam perbelanjaan bagi pengurusan kewangan negeri serta langkah menghadapi tekanan kos dan krisis tenaga global,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar, kerajaan negeri perlu memberi keutamaan kepada penyelesaian yang praktikal dan bertanggungjawab berbanding pendekatan bersifat populis.

Katanya, langkah tersebut juga mencerminkan keperluan untuk memastikan disiplin fiskal dilaksanakan secara konsisten demi kepentingan rakyat.

Dalam pada itu, Tunku Nashrul berkata, rakyat Kedah berharap pendekatan penjimatan tersebut dapat dilaksanakan secara berterusan dan bukan bersifat sementara.

“Jika ini permulaan kepada perubahan tersebut, maka ia wajar disokong, meskipun mengambil masa untuk sampai ke tahap ini. Barangkali selepas penganjuran rumah terbuka Aidilfitri berskala besar, akhirnya terserlah juga kesedaran bahawa disiplin fiskal bukan pilihan, tetapi keperluan,” ujarnya.

Pada Khamis, media melaporkan Kerajaan Negeri akan mempercepatkan pelaksanaan kawalan perbelanjaan sebaik sahaja sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berakhir.

Artikel Berkaitan:

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, langkah itu diambil lebih awal berbanding kebiasaan yang lazimnya dilaksanakan sekitar Jun atau September setiap tahun.

Menurut beliau, antara langkah yang akan dilaksanakan termasuk menyekat projek pembangunan yang tidak mempunyai keperluan mendesak, manakala projek yang telah diluluskan akan diteruskan seperti dirancang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!