Selat Hormuz: Senjata geopolitik Iran-AS

TEHERAN - Selat Hormuz yang menjadi 'alat tekanan strategik' Iran dan Amerika Syarikat (AS) kekal ditutup pada Ahad, di tengah-tengah usaha untuk menyambung semula rundingan damai yang kompleks.
Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf berkata, perjanjian muktamad masih sukar dicapai walaupun beberapa kemajuan sudah dicapai bersama Washington.
"Terdapat banyak jurang dan beberapa perkara asas yang masih dipertimbangkan. Banyak perkara belum diputuskan. Laluan di Hormuz akan disekat selagi AS tidak menarik balik sekatan ke atas pelabuhan kami," ujarnya menerusi ucapan disiarkan stesen TV pada malam Sabtu.
Gencatan senjata goyah yang dipersetujui menerusi rundingan sebelum ini bakal tamat pada Rabu melainkan tempoh bertenang itu dilanjutkan.
Presiden AS, Donald Trump yang kini terjerat dalam kempen ugutan sendiri memaklumkan perkembangan positif rundingan bersama Teheran, namun pada sama beliau memberi amaran jika Iran cuba 'memeras ugut' AS.
Kapal dagang yang terkandas di Hormuz pada mulanya menarik nafas lega selepas laluan maritim itu dibuka semula pada Jumaat sebelum ia kembali ditutup.
Beberapa kapal tangki minyak dan gas sempat melintasi selat sempit itu pada awal pagi Sabtu, namun banyak yang terpaksa berpatah balik susulan pengumuman penutupan semula tersebut.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) turut memberi amaran akan bertindak tegas terhadap mana-mana kapal yang cuba menghampiri Hormuz tanpa kebenaran.
"Kapal yang ingkar akan dianggap bersekongkol dengan musuh dan bakal jadi sasaran bedilan kami," tegasnya. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

