Satu gelang emas ibarat harga sebuah kereta

LONJAKAN harga emas ketika ini wajar buka mata banyak pihak. Dengan harga emas mencecah lebih RM600 segram, nilainya bukan lagi kecil. Seutas gelang sekarang pun boleh menyamai harga sebuah kereta.
Perkembangan ini bukan sesuatu yang berlaku secara mendadak. Jika dibandingkan, harga emas awal 2000-an hanyalah sekitar RM40 hingga RM50 segram. Malah sedekad lalu pun masih di bawah paras RM200.
Kenaikan berterusan ini membuktikan emas kekal sebagai aset penyimpan nilai yang kukuh, khususnya dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu.
Menurut penganalisis kewangan, emas sering menjadi pilihan ketika inflasi meningkat dan ketidaktentuan geopolitik memuncak.
Dalam keadaan pasaran yang tidak stabil, emas dilihat sebagai pelindung nilai kerana permintaannya kekal tinggi, malah terdapat jangkaan harga emas berpotensi terus meningkat sekiranya tekanan ekonomi global berpanjangan.
Dalam negara, kesedaran terhadap kepentingan simpanan emas juga semakin ketara. Ia tidak lagi dilihat sekadar barang kemas, sebaliknya sebagai instrumen simpanan jangka panjang.
Trend ibu bapa menghadiahkan emas kepada anak-anak, termasuk menukar duit raya kepada emas, semakin mendapat tempat.
Langkah ini dilihat sebagai pendekatan awal mendidik generasi muda tentang kepentingan pengurusan kewangan.
Namun begitu, pemilikan emas perlu disertai dengan kefahaman yang jelas. Emas bukan instrumen untuk keuntungan segera, sebaliknya lebih sesuai sebagai simpanan jangka panjang.
Menjual emas ketika harga tinggi atau apabila benar-benar memerlukan kewangan adalah pendekatan yang lebih rasional.
Dari sudut amalan, disiplin menjadi kunci. Pembelian secara konsisten walaupun dalam kuantiti kecil mampu beri hasil dalam jangka panjang. Pada masa sama, aspek keselamatan penyimpanan serta ketulenan emas perlu diberi perhatian bagi memastikan nilainya terpelihara.
Walaupun mempunyai banyak kelebihan, emas juga tidak terlepas daripada kekangan. Ia tidak memberikan pulangan berkala seperti dividen dan memerlukan tempat simpanan yang selamat.
Justeru, emas lebih sesuai dilihat sebagai pelengkap kepada portfolio kewangan, bukan satu-satunya bentuk pelaburan.
Kesimpulannya, kenaikan harga emas ketika ini bukan sekadar trend, tetapi isyarat jelas tentang kepentingan memiliki aset yang mampu melindungi nilai dalam jangka panjang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
