Bawah 16 tahun, sila tunggu giliran!

ISU keselamatan kanak-kanak dalam talian kembali menjadi topik hangat apabila kerajaan baru-baru ini mencadangkan had umur 16 tahun bagi pembukaan akaun media sosial seawal Jun ini.
Cadangan tersebut turut melibatkan mekanisme pengesahan identiti seperti MyKad, yang mana ia bertujuan untuk memastikan hanya individu berumur 16 tahun ke atas sahaja boleh membuka akaun media sosial sendiri.
Dalam bahasa mudah, MyKad mungkin bakal menjadi ‘penjaga pintu’ kepada dunia maya.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, pendekatan berkenaan bukan bertujuan menyekat kebebasan anak muda, sebaliknya memperkukuh aspek keselamatan dan menguatkan peranan ibu bapa dalam memantau aktiviti digital anak-anak.
Dalam kata lain, bukan nak jadi ‘polis internet’ tetapi sekurang-kurangnya nak pastikan anak-anak tidak merayau dalam dunia digital tanpa kompas.
Cadangan itu dilihat langkah tegas bagi melindungi golongan bawah umur daripada risiko dunia digital yang semakin sukar dijangka seperti buli siber, eksploitasi dalam talian sehinggalah kandungan tak bermoral yang kadang-kadang muncul pada skrin tanpa diundang.
Kalau dulu, cabaran ibu bapa adalah memastikan anak-anak tidak terlalu lama bermain di luar rumah, tetapi kini ujian lebih berat apabila mereka perlu memantau si kecil tidak terlalu lama ‘hanyut’ dalam dunia skrin.
Namun seperti biasa, setiap usaha kawalan dalam dunia digital yang diperkenal jarang berjalan tanpa perdebatan.
Timbul persoalan ramai apabila mereka meragui sejauh mana pendekatan itu benar-benar berfungsi dalam dunia digital tiada sempadan sebenar?
Dari sudut pelaksanaan pula, cabaran utama ialah keberkesanan sistem pengesahan umur dan bagaimana ia boleh dikuatkuasakan dalam ekosistem digital yang sangat fleksibel?
Dalam era yang mana akaun palsu boleh diwujudkan dalam beberapa minit sahaja, jadi idea ‘pintu berkunci’ kadang-kadang kedengaran lebih ideal di atas kertas berbanding di alam nyata.
Mungkin ada satu perkara yang boleh melegakan hati para emak dan ayah apabila platform teknologi global tidak ketinggalan mengambil langkah keselamatan demi meyakinkan pengguna tegar mereka.
Syarikat seperti Meta Platforms yang mengendalikan Facebook dan Instagram telah memperkenalkan ciri keselamatan khusus untuk remaja melalui Teen Accounts.
Ciri itu mengehadkan interaksi tertentu, menetapkan kawalan privasi lebih ketat dan secara automatik melindungi pengguna bawah umur daripada pendedahan berlebihan.
Nampaknya, dunia teknologi juga sudah sedar remaja bukan sekadar pengguna, tetapi kumpulan yang paling perlu ‘dipagar dengan cara lembut’.
Namun di sebalik semua usaha itu, muncul satu lagi perdebatan yang lebih halus tetapi cukup signifikan iaitu hak digital kanak-kanak.
Sebahagian pihak berpendapat larangan menyeluruh atau sekatan umur yang ketat mungkin memberi kesan kepada ruang ekspresi, privasi dan perkembangan sosial remaja yang kini membesar bersama internet.
Dalam dunia hari ini, media sosial bukan sekadar hiburan, tetapi juga ruang belajar, berkomunikasi dan membina identiti diri.
Ada juga pandangan bahawa pendekatan terlalu bergantung kepada sekatan mungkin tidak cukup berkesan. Sebaliknya, pendidikan literasi digital dan penglibatan aktif ibu bapa dianggap lebih realistik untuk jangka panjang kerana dalam dunia digital, sekat satu platform tidak bermakna masalah hilang, cuma ia berpindah ‘lokasi’ sahaja.
Secara keseluruhannya, isu seumpama ini menunjukkan keselamatan kanak-kanak dalam talian kini bukan lagi isu sampingan, tetapi menjadi agenda utama negara dalam mendepani cabaran era digital.
*Arziana Mohmad Azaman ialah Sub Editor Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

