Isu banjir Selangor lebih daripada polemik, tuntut penyelesaian tuntas

PENDIRIAN Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai isu banjir di Selangor sekali lagi disuarakan dengan lantang dalam Konvensyen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor pada Ahad.
Dalam majlis tersebut, Mohamed Azmin Ali mengulangi dakwaannya bahawa kerajaan negeri gagal mengambil serius titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung urus tadbir negeri.
Malah, beliau turut memetik titah baginda ketika istiadat pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dengan berkata, “Namun malangnya, nasihat beta tidak dipeduli dan tidak diambil berat, diibaratkan seperti mencurah air ke daun keladi.”
Sebelum ini, Sultan Selangor menzahirkan dukacita terhadap kegagalan berterusan kerajaan negeri menangani isu banjir yang masih berlarutan walaupun pelbagai nasihat telah diberikan.
Baginda bertitah bahawa isu banjir bukan perkara baharu, malah telah berpuluh kali ditegaskan agar diselesaikan segera, termasuk mencadangkan supaya kerajaan negeri merujuk kepakaran luar seperti dari Belanda bagi mendapatkan kaedah terbaik.
Hakikatnya, isu banjir di Selangor masih belum menemui penyelesaian yang tuntas. Ia bukan sekadar bencana alam tetapi dilihat sebagai kelemahan perancangan bandar dan kegagalan penyelenggaraan infrastruktur.
Namun, penting untuk difahami bahawa kebimbangan terhadap banjir di Selangor bukan hanya datang daripada pembangkang.
Pelbagai pihak termasuk pakar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat telah lama menyuarakan isu yang sama.
Ini menunjukkan bahawa naratif yang dibawa Bersatu mempunyai asas realiti, walaupun ia dibingkai dalam konteks persaingan politik.
Persoalan utama yang lebih penting ialah mengapa isu ini berlarutan begitu lama?
Bagi rakyat, keutamaan sebenar adalah penyelesaian yang berkesan, menyeluruh dan berpanjangan, bukan soal peletakan jawatan semata-mata.
Isu banjir di Selangor kini telah melangkaui retorik politik. Ia menjadi ujian sebenar kecekapan pentadbiran sama ada kerajaan mampu beralih daripada reaksi jangka pendek kepada perancangan jangka panjang yang berdaya tahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

