Aminuddin kekal MB Negeri Sembilan 

Aminuddin ketika mengadakan sidang media khas di kediaman rasminya pada petang Isnin.
Aminuddin ketika mengadakan sidang media khas di kediaman rasminya pada petang Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan bahawa beliau kekal sebagai Menteri Besar sehingga sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) diperjelaskan.

Perkara itu dimaklumkan beliau dalam sidang media khas bersama Pakatan Harapan (PH) yang diadakan di kediaman rasminya pada jam 4.30 petang, pada Isnin.

Beliau berkata, perkara berkenaan disampaikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ketika beliau menghadap baginda.

"Saya mengambil maklum pengumuman oleh 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang telah menyatakan penarikan sokongan terhadap kerajaan negeri.

"Sehubungan itu, saya telah mempersembahkan pemakluman kepada Tuanku Muhriz berhubung kedudukan terkini sokongan ADUN terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.

"Setelah melalui pertimbangan sewajarnya, baginda menasihati dan menitahkan agar saya meneruskan tanggungjawab sebagai Menteri Besar seperti biasa selagi belum mendapat kejelasan muktamad mengenai perkara ini," katanya.

Justeru, ujarnya, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, kerajaan negeri akan terus berfungsi seperti biasa dalam memastikan urusan pentadbiran berjalan lancar serta kepentingan rakyat Negeri Sembilan terus terpelihara.

Tambahnya, segala tindakan seterusnya akan dilaksanakan mengikut lunas perlembagaan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Ia termasuklah usaha untuk meleraikan tindakan Datuk-Datuk Undang yang ingin menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau turut menyatakan harapan supaya rakyat negeri ini terus bersabar dan memberikan sokongan terhadap kerajaan negeri.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan ialah semua 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH, termasuk Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook, Ahli Parlimen PH serta Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!