Kuala Nerus 'diselubungi' jerebu

KUALA NERUS – Penduduk di sekitar daerah ini diselubungi kebimbangan ekoran fenomena jerebu yang melanda hampir setiap pagi dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka yang tidak terkawal.
Pensyarah Fakulti Biosumber dan Industri Makanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Madya Dr Azman Azid berkata, keadaan berjerebu di Kuala Nerus bermula pada waktu malam dan beransur reda sekitar 10 pagi.
Menurutnya, situasi tersebut bukan sahaja menjejaskan jarak penglihatan, malah mula memberi kesan kepada kesihatan awam apabila ada penduduk melaporkan mengalami simptom sesak nafas dan iritasi tekak.
"Menurut data Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, sebanyak 252 kes kebakaran terbuka telah direkodkan di daerah ini sejak 1 Januari lalu, sekali gus menjadi penyumbang utama kepada penghasilan asap dan partikel halus di udara.
"Keadaan diburukkan lagi dengan cuaca panas melampau yang mencecah suhu 36 hingga 37 darjah Celsius pada waktu siang, menyebabkan kawasan semak, tanah gambut dan kawasan terbiar menjadi kering serta mudah terbakar," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Jelas beliau, dari sudut saintifik, jerebu yang ketara pada waktu pagi dikaitkan dengan fenomena 'pembalikan suhu' di mana udara sejuk terperangkap berhampiran permukaan bumi pada waktu malam, menyebabkan asap tidak dapat naik ke atas dan terkumpul di paras rendah.
Bagaimanapun, katanya, apabila matahari terbit, lapisan tersebut akan pecah dan membolehkan partikel halus tersebar ke ruang atmosfera yang lebih tinggi dengan bantuan angin.

"Meskipun fenomena ini bersifat sementara, pendedahan berulang kepada partikel halus seperti PM2.5 berisiko mengundang kesan jangka panjang termasuk keradangan saluran pernafasan dan penyakit paru-paru.
"Justeru, orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar sebelum jam 10 pagi serta memakai pelitup muka bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar," katanya lagi.
Beliau yang juga Pengarah Kampus Besut UniSZA berkata, orang ramai diingatkan supaya sentiasa memantau bacaan kualiti udara melalui aplikasi MyIPU dan melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan penguatkuasaan.
"Kegagalan mengawal pembakaran terbuka ketika musim panas bukan sahaja menjejaskan kualiti udara, malah akan terus mengancam kesejahteraan masyarakat setempat jika tiada tindakan drastik diambil," tambahnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
