'Dua kali diterkam beruang' - Lelaki hilang 6 hari ketika cari kayu gaharu

DUNGUN - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lepas ketika mencari kayu gaharu di Hutan Simpan Bukit Bauk dekat Kampung Serdang di sini, ditemukan selamat pada jam 12.15 tengah hari Rabu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Jumaidy Bah Chong Weh berkata, Mohd Nawi Ismail, 55, ditemukan kakitangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di sebuah pondok dalam kawasan hutan di Kampung Binjai di sini.
Beliau berkata, lelaki berkenaan berada dalam keadaan keletihan selepas meredah hutan sejauh 2.3 kilometer dari lokasi dilaporkan hilang pada hari kejadian.
"Mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan telah dibawa keluar dari kawasan hutan itu oleh anggota bomba sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun untuk pemeriksaan kesihatan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.
Jumaidy berkata, lelaki itu yang memasuki hutan berkenaan bersama adiknya dan seorang rakan dipercayai sesat ketika dalam perjalanan pulang selepas mencari kayu gaharu pada jam 8 malam Jumaat lepas.
Pada Selasa, media melaporkan seorang lelaki dilaporkan hilang sejak Jumaat selepas keluar mencari kayu gaharu di Hutan Simpan Bukit Bauk dekat Kampung Serdang di sini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Irwan Abd Rashid dilaporkan berkata, mangsa keluar bersama adiknya, Surimi, 42, dan seorang lagi rakan, Azman Abdul Wahab, 36, sekitar jam 10 pagi.
Sementara itu, Mohd Nawi dari Kampung Serdang di sini berkata, beliau tidak menjumpai jalan keluar walaupun kawasan hutan itu sering dilaluinya untuk mencari kayu gaharu sejak lebih lima tahun lepas.
Beliau berkata, dia tersesat selepas terpisah agak jauh daripada adiknya dan seorang rakan ketika melalui sebatang alur sungai dalam hutan berkenaan.
"Ketika berusaha mencari jalan keluar, saya seolah-olah berpusing-pusing dan kembali ke laluan yang sama.
"Saya turut melaungkan azan beberapa kali dan membaca ayat-ayat al-Quran supaya dapat menemukan jalan keluar," katanya.
Mohd Nawi yang belum mendirikan rumah tangga berkata, beliau juga berhadapan dengan pengalaman menakutkan apabila hampir diterkam seekor beruang ketika terserempak haiwan liar itu pada hari keempat dan kelima kehilangannya.
"Bagaimanapun, saya terselamat selepas beruang berkenaan lari ke dalam kawasan hutan selepas dihalau," katanya.
Selain itu, beliau berkata sepanjang berada dalam hutan, dia hanya minum air daripada akar kayu dan tumbuhan liar kerana ketiadaan bekalan makanan.
"Ini merupakan pengalaman pertama, namun saya amat bersyukur ke hadrat ALLAH SWT apabila masih dipanjangkan umur,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
