Keluarga Allahyarham Muhammad Syukri giat kempen kesedaran derma organ

Bazli bersama kereta peninggalak arwah anaknya yang diletakkan pelekat sebagai simbol kempen kepada pendermaan organ.
Bazli bersama kereta peninggalak arwah anaknya yang diletakkan pelekat sebagai simbol kempen kepada pendermaan organ.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kehilangan insan tersayang, Allahyarham Muhammad Syukri Bazli, 31, ternyata membawa hikmah besar apabila keluarganya kini tekad menggerakkan kempen kesedaran pendermaan organ demi manfaat masyarakat.

​Bapanya, Bazli Yahya, 62, berkata, inisiatif itu dimulakan secara kecil-kecilan dengan menampal pelekat khas pada kenderaan milik arwah sebagai medium penyampaian mesej kepada orang ramai.

​Menurutnya, usaha itu dianggap sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial dalam meneruskan pengorbanan anak sulungnya yang telah berjaya menyelamatkan nyawa insan lain melalui pendermaan organ.

​"Kita letakkan pelekat pada kereta arwah sebagai simbol kempen dengan harapan ia dapat menyuntik kesedaran orang ramai.

"Kita mahu mengajak lebih ramai individu tampil, atau sekurang-kurangnya mengetahui prosedur mendaftar sebagai penderma," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Peroh, Ajil, di sini.

​Mengulas lanjut mengenai idea tersebut, Bazli berkata, ia bermula selepas beliau mendapat penjelasan daripada pegawai perubatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mengenai isu kekurangan kesedaran pendermaan organ di negara ini.

​"Hasil penerangan doktor, kami sedar rupanya masih ramai yang kurang faham.

"Ada situasi di mana penderma sudah bersetuju, namun dihalang oleh ahli keluarga sendiri. Jadi, kami berharap inisiatif ini dapat memberi pendedahan yang lebih jelas," ujarnya.

​Dalam masa yang sama, dia melihat pendekatan melalui medium tular mampu menarik perhatian generasi muda untuk lebih cakna mengenai kepentingan isu ini.

Artikel Berkaitan:

​Malah dia mendedahkan, sudah ada individu yang menghubunginya secara terus untuk bertanyakan kaedah pendaftaran penderma selepas melihat kempen yang dijalankan pada kenderaan tersebut.

​"Ada golongan muda datang bertanya. Saya jelaskan bahawa proses pendaftaran kini sangat mudah dan boleh dirujuk melalui platform media sosial seperti Facebook atau laman web berkaitan," katanya lagi.

Isteri arwah, Nurul Hanis Amelia Ramli menunjukkan gambar keluarga yang sempat dirakam bersama.
Isteri arwah, Nurul Hanis Amelia Ramli menunjukkan gambar keluarga yang sempat dirakam bersama.

​Menyentuh mengenai kenderaan yang digunakan untuk kempen itu, Bazli berkata, pihak keluarga tidak akan menjual kereta berkenaan memandangkan ia mempunyai nilai sentimental yang sangat tinggi.

"Kereta itu dibeli arwah hasil titik peluh sendiri untuk menyara keluarga. Malah, di situlah lokasi arwah ditemukan pengsan pada hari kejadian.

"Kami sepakat untuk menyimpannya sebagai kenangan dan simbol perjuangannya," jelas beliau.

Allahyarham Muhammad Syukri yang juga seorang tukang masak yang disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, pada awal pagi Ahad.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!