Hadiah hari lahir paling bermakna, hasrat derma organ anak tertunai

Gambar kenangan Suzita dan suami bersama Allahyarham Muhammad Zahran.
Gambar kenangan Suzita dan suami bersama Allahyarham Muhammad Zahran.
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang ibu menyifatkan pemergian anak sulungnya sebagai satu kehilangan besar, namun reda apabila hasrat arwah untuk menderma organ dapat ditunaikan.

Suzita Ab Halim, 47, berkata, anaknya, Muhammad Zahran Mohd Zuraidi, 21, yang bekerja di sebuah syarikat automotif, meninggal dunia pada 23 Mac lalu di Hospital Selayang selepas disahkan mati otak akibat kemalangan.

Menurutnya, arwah terlibat dalam kemalangan ketika menunggang motosikal secara bersendirian di laluan pintasan Rawang pada jam 9.35 pagi, 18 Mac lalu ketika dalam perjalanan pulang selepas tamat kerja syif malam.

"Tiada saksi ketika kejadian. Orang awam jumpa dia sudah terbaring di atas jalan, tetapi ketika itu dia masih sedar.

"Difahamkan sebelum kejadian, dia sempat mengambil barang sebelum pulang ke rumah dan melalui laluan tersebut," katanya kepada Sinar Harian.

Suzita memaklumkan, sepanjang hayatnya, anak sulung daripada empat beradik itu seorang yang ceria, bertanggungjawab dan sangat menyayangi keluarga terutama adik-adiknya.

Malah ujarnya, Allahyarham juga seorang yang ringan tulang serta gemar membantu orang lain.

"Dalam bulan Ramadan baru-baru ini, dia pernah menyuarakan hasrat untuk menderma organ.

"Sebagai ibu bapa, saya dan suami bersetuju serta menghormati niat murninya itu," ujarnya.

Menurut Suzita, keputusan mengizinkan derma organ tersebut bukan sesuatu yang mudah, namun mereka reda demi meneruskan legasi kebaikan arwah.

"Lebih menyentuh hati, 25 Mac adalah hari lahir saya dan pengorbanan Allahyarham menderma organ menjadi hadiah paling besar dan bermakna buat saya.

"Walaupun dia sudah tiada, sebahagian dirinya masih hidup dan membantu orang lain," katanya.

Difahamkan, Allahyarham Muhammad Zahran mendermakan hati, ginjal, kornea dan jantung.

Ringkasan AI

  • Seorang ibu menganggap pemergian anak sulungnya sebagai kehilangan besar tetapi reda apabila hasrat anaknya menderma organ dapat ditunaikan
  • Muhammad Zahran Mohd Zuraidi, meninggal dunia akibat kemalangan motosikal dan disahkan mati otak di Hospital Selayang
  • Zahran terlibat dalam kemalangan ketika menunggang motosikal di laluan pintasan Rawang ketika pulang dari kerja syif malam
  • Suzita, ibu kepada arwah, menggambarkan anaknya sebagai individu yang ceria, bertanggungjawab, dan gemar membantu orang lain
  • Allahyarham Muhammad Zahran mendermakan hati, ginjal, kornea dan jantung, menjadikan pengorbanan ini hadiah berharga dan bermakna bagi ibunya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!