Gen Z meluat orang tua sibuk politik, tak fokus maju negara

KALAU ditanya kepada generasi muda hari ini terutama Gen Z, ramai yang mengeluh melihat drama politik dari satu krisis ke satu krisis termasuk kemelut terbaharu di Negeri Sembilan.
Bagi Gen Z, politik bukan lagi sesuatu yang menarik seperti digilai generasi terdahulu kerana mereka membesar dalam dunia bergerak pantas dengan teknologi, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan persaingan global.
Namun apa yang disajikan kepada mereka masih skrip lama yang sarat dengan perebutan jawatan, percaturan kuasa dan permainan angka majoriti.
Merak Jalanan melihat keresahan ini bukan sekadar rungutan kosong tetapi satu isyarat jelas bahawa generasi muda sudah mula hilang sabar apabila isu pembangunan ekonomi, inovasi dan teknologi sering tenggelam dalam kebisingan politik.
Ketika negara lain berlumba membina ekosistem AI, memperkukuh ekonomi digital dan melahirkan bakat teknologi, Malaysia masih lagi terperangkap dalam episod pertukaran sokongan, percaturan dalaman parti dan krisis kepercayaan sesama pemimpin.
Gen Z tidak menolak kepentingan politik sebaliknya mahu melihat dasar yang jelas dan peluang pekerjaan berkualiti dalam dunia yang semakin kompetitif.
Lebih pedih, ada mula merasakan suara tidak didengari, seolah-olah masa depan mereka ditentukan oleh kelompok orang tua yang masih bermain dengan pendekatan lama.
Merak Jalanan percaya, jika keresahan ini terus dipandang ringan, jurang antara generasi semakin melebar.
Sudah tiba masanya semua pihak terutama pemimpin politik, berhenti daripada polemik yang tidak berkesudahan dan kembali kepada asas sebenar iaitu membina negara yang berdaya saing, inovatif dan bersedia menghadapi masa depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
