Hina sultan: Maaf sahaja tak cukup!

TERKEJUT Merak Jalanan melihat tangkap layar satu hantaran hasil daripada suntingan yang menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Entah bagaimana pihak tidak bertanggungjawab itu begitu berani menyunting gambar berkenaan dipercayai susulan titah baginda mengenai isu penternakan babi baru-baru ini.
Ia mengundang kecaman keras ramai pihak yang menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera berhubung tindakan amat biadab itu.
Ia bukan sahaja mencemarkan keperibadian Sultan Selangor, malah satu penghinaan terhadap kedaulatan institusi diraja yang dijamin kedudukannya di bawah Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
Selain itu perbuatan itu jelas mengkhianati prinsip Rukun Negara dan melanggar lunas undang-undang yang berkuat kuasa.
Apapun, kandungan bersifat provokasi seperti itu sememangnya berupaya menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.
Ini bukan kali pertama pihak tertentu cuba membangkitkan sentimen rakyat Malaysia terutama membabitkan institusi diraja.
Merak Jalanan sedih dengan provokasi begitu dan menyokong kerajaan pinda undang-undang yang lebih tegas dalam menangani isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R).
Kita tidak boleh lagi bertolak ansur dengan apa juga tindakan menghina terutama kepada institusi raja-raja yang selama ini begitu dihormati sebagai payung negeri dan negara.
Sesuatu perlu dilakukan sekarang. Jangan tunggu sehingga kata-kata maaf tidak lagi mempunyai nilai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
