NGO, penduduk Kuala Langat desak tindakan tegas isu gambar hina Sultan Selangor

Mohd Irwan (berdiri lima dari kiri) bersama wakil NGO dan penduduk hadir membuat laporan polis di IPD Kuala Langat pada Isnin.
Mohd Irwan (berdiri lima dari kiri) bersama wakil NGO dan penduduk hadir membuat laporan polis di IPD Kuala Langat pada Isnin.
A
A
A

KUALA LANGAT - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk daerah ini menggesa agar tindakan tegas diambil berhubung penularan suntingan gambar khinzir dengan pakaian istiadat istana yang dikaitkan dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Penaung Penasihat Persatuan Anak Kampung Seri Cheeding, Datuk Mohd Irwan Wiji berkata, sebagai anak jati negeri Selangor, isu sebegini telah menimbulkan rasa tidak senang, marah dan tidak hormat dalam kalangan rakyat negeri ini.

"Paparan gambar itu telah menjatuhkan martabat Istana Selangor.

"Terdapat pihak tertentu yang dipercayai telah mengeluarkan kenyataan beserta gambar tidak senonoh melibatkan Sultan Selangor serta melakukan tindakan yang dilihat mencabar dan tidak menghormati institusi Kesultanan Selangor," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas hadir bersama beberapa NGO dan penduduk tempatan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

Antara NGO yang hadir ialah Majlis Ayahanda Penasihat Negeri Selangor, Persatuan Kebajikan dan Dakwah Islam Malaysia (Pekida) Malaysia Daerah Kuala Langat, Silat Gayong Makrifat Cawangan Negeri Selangor, Warisan Kesenian Laksamana (Wakalam), Hulubalang Tanah Melayu serta Gelanggang Hulubalang Muda Kanchong Darat.

Tegas Mohd Irwan, perbuatan menyunting gambar itu amat dikesali kerana institusi diraja merupakan lambang kedaulatan negeri dan perlu dihormati oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang.

"Kami memohon agar pihak polis dapat menjalankan siasatan segera terhadap individu atau pihak yang terlibat.

"Ambil tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada bagi memastikan keharmonian, keamanan dan rasa hormat terhadap institusi diraja terus terpelihara," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han dalam kenyataan mengecam sekeras-kerasnya tindakan hantaran media sosial terbabit.

Tegas Sze Han, menyamakan mana-mana manusia dengan sifat binatang bukan sahaja tidak beradab dan melanggar norma serta tata susila seorang rakyat Malaysia, malah merupakan satu cubaan yang mampu mencetuskan kekacauan dalam negara berbilang bangsa.

Justeru, beliau menyeru PDRM mengambil tindakan segera supaya pesalah dapat dihukum dengan hukuman berat berlandaskan undang-undang negara.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!