JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meraih gangsa dalam acara pecut Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan pada Ahad.
Pingat itu diraih selepas Azizulhasni yang dikenali dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ menewaskan wakil AIN (Russia), Nikita Kiriltsev dalam aksi penentuan tempat ketiga menerusi dua perlumbaan berturut-turut.
Terdahulu, pelumba berusia 38 tahun itu terlepas peluang memburu pingat emas selepas tewas kepada pelumba Trinidad dan Tobago, Nicholas Paul 2-1 dalam saingan separuh akhir acara tersebut.
Azizulhasni sebelum itu mempamerkan prestasi memberangsangkan apabila mencatat masa ketiga terpantas, 9.601 saat dalam pusingan kelayakan.
Dalam aksi penentuan pingat emas, pelumba Belanda, Harrie Lavreysen muncul juara selepas menundukkan Paul 2-0.
Pada Sabtu, Azizulhasni merangkul kejuaraan dalam acara keirin pada saingan Piala Dunia Trek UCI 2026.


