suria

Dua kritikal, 8 cedera Mitsubishi Lancer dipandu remaja 14 tahun hilang kawalan

Kemalangan berpunca daripada kenderaan yang dipandu remaja 14 tahun terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

 

DUA individu kritikal manakala lapan lagi cedera susulan terlibat dalam kemalangan selepas kenderaan dipandu remaja lelaki berusia 14 tahun terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Kejadian dilaporkan berlaku di kawasan Fraser Coast, Queensland, Australia, pada petang Khamis.

Menurut polis, kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang di Maryborough Hervey Bay Road, Susan River apabila sebuah Mitsubishi Lancer putih dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Kenderaan itu dilaporkan melanggar sisi sebuah Suzuki Swift putih sebelum merempuh sebuah Hyundai Kona berwarna jingga.

Sebuah Volkswagen Polo merah yang berada di belakang Kona turut terlibat dalam pelanggaran tersebut.

Akibat nahas itu, pemandu Suzuki iaitu seorang wanita berusia 18 tahun serta seorang penumpang Mitsubishi berusia 16 tahun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Universiti Sunshine Coast dalam keadaan kritikal.

Seorang lagi penumpang Mitsubishi, remaja lelaki berusia 14 tahun, pada mulanya dikejarkan ke Hospital Hervey Bay sebelum dipindahkan ke Hospital Kanak-Kanak Queensland untuk rawatan lanjut.

Tujuh lagi mangsa yang cedera turut menerima rawatan di Hospital Hervey Bay termasuk pemandu Mitsubishi yang juga berusia 14 tahun dan seorang lagi penumpang wanita berusia 16 tahun.

Mangsa lain yang merupakan penumpang Suzuki berusia 58 tahun, pemandu Volkswagen berusia 19 tahun serta pemandu Kona berusia 40 tahun bersama dua penumpangnya iaitu seorang wanita dan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun turut mendapatkan rawatan di hospital sama.

Inspektor Paul Algie mengesahkan remaja yang memandu Mitsubishi itu tidak sepatutnya memandu kerana tidak memiliki lesen.

"Pemandu kenderaan pertama itu berusia 14 tahun dan tidak mempunyai lesen memandu," katanya.

Bagaimanapun, polis mengesahkan kereta tersebut tidak dilaporkan sebagai dicuri. -Agensi

Artikel Lain