ISU tuntutan bayaran melibatkan kumpulan UNIC akhirnya selesai selepas penganjur konsert This Is UNIC melunaskan segala pembayaran pada Jumaat.
Salah seorang anggotanya iaitu Dr Fitri Haris memaklumkan telah dihubungi oleh penganjur selepas dia memuat naik kenyataan di media sosial.
Menurut Fitri, dia menerima bayaran penuh berjumlah RM106,000 iaitu hasil keuntungan daripada jualan tiket serta sebahagian wang tajaan.

UNIC akan lebih berhati-hati dalam bekerjasama dengan pihak penganjur konsert.
"Alhamdulillah, setelah empat bulan lebih, pembayaran telah di buat sepenuhnya oleh pihak penganjur.
"Dia ada hubungi saya beberapa kali meminta saya turunkan hantaran di sosial media dengan alasan melibatkan keluarga. Namun kami juga ada keluarga sendiri dan alasan tersebut sepatutnya tidak berlaku.
"Pihak berkenaan akhirnya membuat bayaran penuh pada Jumaat," katanya ketika dihubungi mStar.
Mengambil iktibar atas apa yang berlaku, Fitri berkata kejadian ini membuatkan mereka lebih berhati-hati dalam sebarang perancangan mengadakan konsert.
ARTIKEL BERKAITAN: UNIC belum terima bayaran konsert, Fitri Haris buat laporan polis.... Beri notis satu minggu
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Pendedahan Fitri UNIC diganggu ‘geng kunyit’ bukan untuk viral, sekadar beri kesedaran supaya tampil bersuara
Namun begitu, sebagai wakil UNIC, dia sentiasa terbuka menerima tawaran daripada mana-mana pihak yang sudi bekerjasama melibatkan penganjuran acara.
"Tidaklah serik nak bekerjasama dengan penganjur luar, cuma akan lebih berhati-hati. Sebelum ini kami buat konsert guna duit sendiri.
"Tidak sangka untuk konsert sebelum ini menjadi isu. Jadi kami akan lebih berhati-hati," luahnya.

Fitri sebelum ini tampil membuat laporan polis menuntut bayaran tertunggak.
Pada Ahad lalu, Fitri memuat naik satu hantaran menuntut penganjur konsert This Is UNIC menjelaskan bayaran tunggakan kepada pihak mereka.
Fitri juga tampil membuat laporan polis berhubung perkara tersebut pada Januari lalu namun masih tidak menerima pembayaran dalam tempoh beberapa bulan.
Konsert This is UNIC yang diadakan pada 20 Disember tahun lalu dianjurkan bertujuan bagi meraikan dua dekad penubuhan kumpulan itu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


