MAYAT seorang wanita dengan kesan 61 tikaman ditemukan di tepi jalan di Kampung Simah, Ketereh, Kelantan pada tengah malam Khamis.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa memakai rantai leher dengan ukiran nama ‘Syaa’, seutas rantai tangan pada pergelangan tangan kiri dan sebentuk cincin di jari tengah tangan kanan.
Ujar Mohd Yusoff, hasil pemeriksaan oleh pasukan forensik mendapati, 61 kesan tikaman pada tubuh mangsa turut dikesan bermula dari bahagian muka hingga kaki.
Jelasnya lagi, kebanyakan kecederaan tertumpu pada bahagian kanan badan mangsa.
"Wanita itu turut berpakaian baju lengan panjang warna hitam saiz XL dan seluar panjang hitam tanpa jenama saiz XXL.
"Pemeriksaan di tempat kejadian menjumpai beberapa barangan lain antaranya seutas manik berwarna-warni, cermin mata dan sehelai selendang.
"Namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan bersama mangsa," katanya.
Tambah Mohd Yusoff, Unit Anjing Pengesan (K9) telah digerakkan bagi tujuan pengesanan di sekitar lokasi dalam radius kira-kira 30 meter.
"Hasil siasatan mendapati, mangsa dipercayai telah dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan tersebut.
"Tempat kejadian merupakan kawasan sawah padi yang gelap tanpa pencahayaan lampu jalan dengan jarak kira-kira 47 meter dari rumah penduduk terdekat," ujarnya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk proses dibedah siasat.
Menurutnya lagi, identiti wanita itu berjaya dikenal pasti melalui semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri mendedahkan mangsa berasal dari Perak dan berusia 19 tahun.


