SUASANA tenang di sebuah sekolah menengah bertukar kecoh apabila seorang pelajar bertindak menyerang beberapa individu dengan menikam mangsa, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan pelajar dan kakitangan sekolah.
Dilaporkan sekurang-kurangnya enam orang cedera dalam insiden tikaman yang berlaku di Sekolah Menengah Foss di bandar Tacoma, Washington, sekitar pukul 1.40 tengah hari Khamis (waktu tempatan).
Menurut polis, suspek yang turut cedera kini didakwa atas lima pertuduhan serangan darjah pertama selepas empat pelajar dan seorang pengawal keselamatan ditikam dalam kejadian tersebut.
Jabatan Bomba Tacoma memaklumkan lima mangsa telah dikejarkan ke hospital, dengan empat daripadanya berada dalam keadaan kritikal manakala seorang lagi mengalami kecederaan ringan.
Kesemua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil setakat lewat petang hari kejadian.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Polis Tacoma, Shelbie Boyd berkata, kesemua mangsa cedera akibat ditikam atau dikelar, dan suspek juga merupakan antara individu mengalami kecederaan dalam insiden tersebut.
Dalam perkembangan sama, pihak sekolah memaklumkan bahawa sesi persekolahan ditamatkan lebih awal sejurus insiden berlaku.
Susulan kejadian itu, semua aktiviti sekolah termasuk program selepas waktu persekolahan pada Jumaat dibatalkan.
Sekolah dijadualkan dibuka semula pada Isnin dengan kehadiran kaunselor bagi membantu pelajar dan kakitangan menghadapi situasi tersebut.
"Kami menghargai tindakan pantas dan profesional kakitangan serta pasukan kecemasan yang terlibat," menurut kenyataan pihak sekolah. -Agensi


