suria

Rasa kesunyian, pesakit kanser pesan ‘peneman’ melalui aplikasi penghantaran makanan... Terharu ramai rider datang melawat

Salah seorang rider melawat Li di hospital. -Foto Douyin

SEORANG wanita sedang bertarung dengan kanser mengundang perhatian ramai selepas tindakannya memesan 'peneman' melalui aplikasi penghantaran makanan, tular di media sosial.

Wanita berusia 24 tahun dikenali sebagai Li, dari Foshan, China itu dilaporkan menghidap kanser darah yang jarang berlaku.

Menurut laporan media tempatan, dia telah menjalani empat pusingan kemoterapi dan kini berada dalam keadaan stabil, walaupun masih menerima rawatan di hospital.

Namun, di sebalik keadaannya itu, Li sebenarnya berdepan kesunyian apabila tidak mempunyai keluarga yang sentiasa berada di sisinya.

Pada 15 April lalu, Li membuat satu pesanan luar biasa menerusi aplikasi penghantaran makanan.

Bukan memesan makanan, sebaliknya dia meminta seorang pekerja penghantaran (rider) duduk menemaninya selama dua jam di sisi katil hospital.

Permintaan unik itu pada mulanya dipenuhi oleh seorang rider, yang kemudian berkongsi kisah Li dalam kumpulan komuniti penghantar tempatan.

Tidak lama selepas itu, kisah tersebut mula tersebar dan mencetuskan gelombang kebaikan dalam kalangan penghantar lain.

Ramai yang tampil melawat Li selepas tamat syif kerja, malah ada yang sanggup meluangkan masa tambahan untuk berbual dengannya. 

Mereka turut membawa pelbagai hadiah seperti susu, makanan ringan, buku dan mainan sebagai tanda sokongan.

Seorang penghantar dikenali sebagai Chen berkata, dia tersentuh dengan keadaan Li yang sering bersendirian.

"Li tidak mempunyai keluarga di sisinya sepanjang masa. Saya rasa simpati dan ingin menemaninya," katanya. 

Malah, ada penghantar dari wilayah lain yang turut menunjukkan sokongan, termasuk seorang rider dari Yunnan yang menghantar bunga kepada Li, serta seorang lagi dari Guangzhou sanggup menempuh perjalanan hampir tiga jam semata-mata untuk melawatnya.

Menurut laporan, Li pada awalnya seorang yang pendiam ketika dimasukkan ke hospital. 

Namun, kehadiran ramai pelawat sedikit demi sedikit mengubah keadaannya, dengan dia dilihat semakin ceria dan mulai berselera menikmati makanan.

Keadaan kesihatannya kini bertambah stabil, dan Li telah dibenarkan keluar dari hospital pada 20 April lalu.

Difahamkan, dia kini sedang menunggu keputusan ujian padanan dengan adik lelakinya bagi menentukan langkah seterusnya dalam rawatan yang bakal dijalani. -Agensi

Artikel Lain