PASUKAN tentera Israel dilaporkan memintas beberapa kapal yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza di tengah Laut Mediterranean menggunakan dron, teknologi gangguan komunikasi serta kumpulan penyerang bersenjata.
Menurut penganjur misi Global Sumud Flotilla (GSF), kapal mereka dihampiri oleh bot laju tentera yang memperkenalkan diri sebagai Israel sebelum mengarahkan peserta berkumpul di hadapan bot dalam keadaan berlutut.
"Bot tentera Israel mengepung flotila secara haram di perairan antarabangsa dan mengancam penculikan serta keganasan," menurut kenyataan yang dimuat naik di media sosial pada Khamis.
Situasi menjadi lebih tegang apabila komunikasi dengan 11 kapal dilaporkan terputus.
Media Israel pula mendakwa tujuh daripada bot tersebut berjaya dipintas.
Radio Tentera Israel memetik sumber sebagai berkata operasi merampas kawalan kapal bantuan yang menuju ke Gaza telah bermula, dengan tujuh daripada 58 kapal ditahan berhampiran pulau Crete, Greece.
Sementara itu, Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Danny Danon, berkata flotila tersebut berjaya dihentikan sebelum memasuki kawasan Israel, sambil menyifatkan peserta sebagai 'kumpulan penghasut yang mencari perhatian'.
Dalam perkembangan sama, jurucakap GSF, Gur Tsabar, mengecam tindakan tersebut sebagai serangan langsung terhadap bot awam yang tidak bersenjata di perairan antarabangsa.
Tsabar turut menggesa semua kerajaan bertindak segera bagi melindungi lebih 400 orang awam yang berada di atas kapal serta memastikan undang-undang antarabangsa dipatuhi.
Flotila tersebut dianggarkan berada kira-kira 600 batu nautika dari Gaza.
Wartawan Al Jazeera, Jack Barton, yang melaporkan dari Amman, Jordan pula berkata, jarak itu jauh lebih besar berbanding operasi pintasan sebelum ini oleh Israel, iaitu sekitar 72 batu nautika sahaja.
"Ini adalah antara operasi paling jauh pernah dilakukan Israel terhadap flotila bantuan," katanya.
Untuk rekod, lebih 50 kapal yang membawa aktivis antarabangsa berlepas dari Itali pada Ahad menuju ke Gaza, dalam usaha yang disifatkan penganjur sebagai misi bantuan kemanusiaan terbesar ke wilayah Palestin yang sedang dilanda konflik. -Agensi


