159 kandungan palsu berkaitan krisis semasa diturunkan - Fahmi

KUALA LUMPUR – Sebanyak 159 kandungan palsu termasuklah berkaitan dakwaan kenaikan bahan api telah dikenal pasti dan diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setakat ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kandungan palsu tular pelbagai platform media sosial itu melibatkan tiga kategori termasuklah dakwaan kenaikan harga minyak.
"Antara lain, maklumat palsu berkaitan kononnya Malaysia perlu membayar tol ketika melalui Selat Hormuz serta kandungan tidak benar berkaitan kenaikan tarif Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Kesemua kandungan ini dikenal pasti dalam tempoh beberapa hari sejak 29 Mac lepas," katanya.
Beliau berkata demikian selepas berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Keadilan Wilayah Persekutuan di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan MCMC sedang menjalankan siasatan terhadap 17 individu disyaki menyebarkan maklumat berunsur palsu mengenai kenaikan harga bahan api dan tarif baharu elektrik yang tular menerusi platform media sosial.
Justeru, beliau memaklumkan, tindakan penguatkuasaan terus dipergiat susulan peningkatan kandungan palsu yang dikesan, termasuk yang melibatkan taktik coordinated inauthentic behaviour menggunakan akaun palsu atau bot.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat yang tidak disahkan kerana perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan undang-undang.
“Individu yang menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan denda hingga RM500,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai disaran menyemak kesahihan sesuatu maklumat terlebih dahulu, termasuk yang menggunakan logo media sebelum berkongsi kepada pihak lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

