Kerajaan pandang serius keluhan pengusaha stesen minyak, cari jalan penyelesaian terbaik - Armizan

KOTA BHARU - Dakwaan pengusaha stesen minyak terpaksa menjadi 'pembiaya tidak rasmi' susulan keperluan mengeluarkan modal tinggi bagi pembelian stok tanpa subsidi mendapat perhatian kerajaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan memahami tekanan aliran tunai yang dihadapi pengusaha, khususnya dalam situasi melibatkan urusan komersial antara pengusaha dan syarikat minyak.
Menurut beliau, meskipun urusan tersebut melibatkan transaksi perniagaan ke perniagaan (B2B), kerajaan tidak berdiam diri dan mengambil langkah proaktif bagi menangani isu berkenaan.
"Kerajaan maklum cabaran yang dihadapi pengusaha stesen minyak yang terpaksa mendahulukan modal besar sebelum menerima bayaran balik subsidi.
"Sehubungan itu, mesyuarat mingguan M10 telah diaktifkan bagi memantau perkembangan isu ini secara dekat," katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar pada Ahad.
Beliau sebelum itu merasmikan Taklimat Penguatkuasaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 Kepada Pemborong Barangan Kawalan dan Pengusaha Stesen Minyak Kelantan di sini.
Tambah beliau, KPDN kini sedang mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) bagi mencari mekanisme terbaik untuk mempercepatkan proses pembayaran balik kepada pengusaha.
"Antara fokus utama ialah memastikan proses pembayaran balik dapat dipercepatkan supaya aliran tunai pengusaha tidak terjejas dan operasi mereka dapat diteruskan dengan lebih stabil," ujarnya.
Mengulas lanjut, Armizan menegaskan kerajaan komited memastikan ekosistem pengedaran bahan api kekal mampan tanpa menekan mana-mana pihak dalam rantaian tersebut.
Katanya, sebarang penambahbaikan akan mengambil kira kepentingan pengusaha di peringkat akar umbi selain memastikan bekalan kepada pengguna tidak terjejas.
Sebelum ini, beberapa pengusaha stesen minyak dilaporkan mendakwa mereka berdepan tekanan kewangan apabila terpaksa mendahulukan kos tinggi untuk mendapatkan bekalan bahan api, sekali gus menjejaskan aliran tunai harian perniagaan mereka.
Media pada Sabtu melaporkan pengusaha stesen minyak ketika ini mendakwa terpaksa menjadi seperti 'pembiaya tidak rasmi' kepada agihan subsidi bersasar diesel akibat mekanisme pembayaran modal tunai yang terpaksa mereka tanggung untuk membeli bekalan bahan bakar itu.
Menurut Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon, situasi itu tidak adil kepada mereka, di mana realitinya pengusaha secara efektif mendahulukan pembiayaan subsidi menggunakan modal sendiri.
DPMM katanya, menerima aduan dan keluhan daripada Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera (BUMIPEDA) mengenai kesan kenaikan harga minyak diesel terhadap bebanan kewangan yang tidak sepatutnya ditanggung oleh mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

