Harga diesel, RON97, RON95 turun mulai esok

MoF memaklumkan harga RON95 dan RON97 tanpa subsidi turut diturunkan masing-masing sebanyak 25 sen bagi tempoh sama. Foto hiasan
MoF memaklumkan harga RON95 dan RON97 tanpa subsidi turut diturunkan masing-masing sebanyak 25 sen bagi tempoh sama. Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kewangan (MoF) menetapkan harga baharu diesel di Semenanjung pada kadar RM5.97 seliter, berkuat kuasa pada Khamis sehingga 22 April.

Penetapan kadar baharu itu menyaksikan bahan bakar berkenaan mengalami penurunan sebanyak 75 sen, berbanding minggu sebelumnya, RM6.72 seliter.

MoF menerusi kenyataan memaklumkan, harga RON97 dan RON95 tanpa subsidi turut diturunkan masing- masing sebanyak 25 sen bagi tempoh sama.

"Harga baharu RON97 tanpa subsidi adalah RM5.10 seliter manakala RON95 pula RM4.02 seliter, " katanya pada Rabu.

Ujar kementerian itu, penurunan harga dilaksanakan selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), berikutan penurunan harga pasaran antarabangsa.

"Dengan konflik di Asia Barat yang berlarutan, kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan semasa dan mengambil langkah bagi memastikan keterjaminan bekalan bahan api di samping melindungi rakyat serta sektor ekonomi daripada impak penuh gangguan rantaian bekalan," jelas MoF

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu pada kadar RM1.99 bagi BUDI95 dan RM2.15 bagi diesel di Sabah, Sarawak serta Labuan setiap liter.

Harga Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) juga dikekalkan pada paras RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter.

Bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak global terhadap rakyat serta memastikan kelangsungan pengeluaran makanan dan rantaian bekalan, kerajaan telah meningkatkan bantuan tunai tambahan BUDI Diesel kepada RM400 sebulan bagi bulan ini untuk 350,000 penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi dengan tambahan dana RM35 juta sebulan.

Artikel Berkaitan:

"Ini merupakan kali kedua bantuan tersebut dinaikkan susulan tekanan pasaran petroleum global, selepas peningkatan daripada RM200 kepada RM300 pada Mac lalu," katanya.

Di samping itu, MoF memaklumkan, kadar Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) bagi musim penanaman 2026 dinaikkan daripada RM160 kepada RM300 sehektar melibatkan dana tambahan sekitar RM40 juta dan memanfaatkan hampir 200,000 pesawah padi bagi membantu sektor agromakanan menghadapi kenaikan kos input.

"Secara keseluruhan, kerajaan dianggarkan akan menanggung sekitar RM7 bilion sebulan berdasarkan harga semasa. Subsidi RON95 meningkat daripada sekitar RM300 juta sebelum konflik kepada sekitar RM4 bilion sebulan manakala subsidi diesel melonjak daripada sekitar RM400 juta kepada sekitar RM3 bilion sebulan," jelas MoF.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!