Universiti bukan pentas eksperimen tanpa batas

MERAK Jalanan nak ulas isu persembahan teater di sebuah universiti tempatan yang tular sekarang ini.
Isu ini sebenarnya membuka satu perbincangan yang lebih besar tentang peranan universiti sebagai tempat ilmu, nilai dan pembentukan sahsiah.
Universiti bukan pentas untuk pelajar 'main lepas' apa sahaja idea, tetapi universiti satu ruang untuk belajar berfikir, berdisiplin dan faham tanggungjawab sosial.
Dalam kes ini, Merak Jalanan kagum juga dengan tindakan pantas pihak universiti yang terus mohon maaf dan ambil langkah susulan.
Tapi pada masa sama, timbul persoalan bila adegan yang tular itu dikatakan tak ikut skrip asal dan melanggar garis panduan yang sudah ditetapkan. Nampak macam isu ini bukan soal seni semata-mata, tapi lebih kepada kawalan di pentas.
Cuma, Merak Jalanan tak suka bila ada segelintir komen netizen yang terus 'hentam kromo' tanpa faham cerita penuh. Bukan semua benda boleh dijadikan bahan marah, bacalah isu ini dahulu sebelum komen.
Dalam dunia seni, Merak Jalanan faham eksperimen itu perlu untuk bagi ruang idea baharu. Tapi universiti bukan pentas eksperimen tanpa batas. Ada nilai, ada budaya, ada sensitiviti yang kena jaga sama-sama.
Merak Jalanan mahu ruang kreatif pelajar terus hidup, tapi biarlah ada garis panduan yang jelas dan pemantauan betul, bukan sekadar lepas atas pentas lepas itu tunggu tular baru nak bertindak.
Merak Jalanan teringin nak tengok universiti jadi tempat lahir idea-idea besar yang matang, bukan sekadar konten tular yang cepat panas sekejap sahaja.
Semua pihak perlu main peranan, sebab sekali silap kecil di pentas, kesannya boleh jadi besar sampai nama universiti pun terpalit sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
