Iran kuasa terkuat di Asia Barat?

KOMUNITI antarabangsa kini membuka mata dan mula mengiktiraf kehebatan Iran dalam menghadapi kempen tekanan Amerika Syarikat (AS).
Teheran dianggap sebagai salah sebuah negara paling berpengaruh di Asia Barat kerana kekuatan ketenteraan, kedudukan strategik dan pengaruh geopolitik serantau yang besar.
Dalam konteks ini, Iran dilihat sebagai kuasa utama yang mampu mempengaruhi keseimbangan politik di rantau tersebut.
Selepas Revolusi Islam pada 1979, negara itu membangunkan sistem politik bersifat teokratik yang mana pemimpin agama memegang kuasa tertinggi dan kawalan struktur kawalan keselamatan unik dipimpin Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Sistem pertahanan tersendiri itu membolehkan Iran tidak sekadar bergantung kepada kekuatan tentera konvensional.
IRGC merupakan elemen utama yang menguatkan kedudukan Teheran dalam konflik dan diplomasi di Asia Barat kerana ia menggabungkan kekuatan ketenteraan, ekonomi dan ideologi dalam satu sistem kuasa yang bersepadu.
Dari sudut ketenteraan, Iran mempunyai salah satu angkatan bersenjata terbesar di rantau tersebut. Ia berada dalam kelompok teratas dunia dari segi jumlah anggota tentera aktif dan mempunyai keupayaan ketenteraan yang luar biasa termasuk peluru berpandu, armada darat, laut serta sistem pertahanan domestik yang dibangunkan sendiri.
Walaupun menghadapi sekatan ekonomi dan teknologi, Teheran berjaya membangunkan industri ketenteraan domestik yang menghasilkan dron, peluru berpandu, radar dan kenderaan tempur sendiri.
Selain kekuatan ketenteraan, pengaruh Iran di Asia Barat juga hadir daripada strategi geopolitiknya yang menggunakan rangkaian proksi.
Melalui pendekatan ini, Teheran mampu memberi keseimbangan kuasa di kawasan seperti Iraq, Syria, Lubnan dan Yemen. Teheran berfungsi sebagai game changer dalam banyak konflik serantau apabila melibatkan isu keselamatan tenaga, Selat Hormuz dan konflik proksi.
Keupayaan ini meletakkan Iran sebagai antara kuasa utama di Asia Barat meskipun dibelenggu tekanan ekonomi dan sekatan antarabangsa yang berpanjangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
