Salah siapa kampung warga asing 'membiak'

Laporan Sinar Harian berhubung perkampungan warga asing di Setia Alam.
Laporan Sinar Harian berhubung perkampungan warga asing di Setia Alam.
A
A
A

LAPORAN Sinar Harian pada Isnin mengenai perkampungan warga asing di Setia Alam yang masih beroperasi seperti biasa walaupun beberapa kali digempur pihak berkuasa bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Situasi ini seolah-olah sudah menjadi satu pola berulang yang berlaku di beberapa lokasi tertentu tanpa penyelesaian tuntas. Fenomena ini sebenarnya membuka satu persoalan lebih besar tentang bagaimana sesebuah kawasan boleh bertapak secara perlahan-lahan.

Warga asing ini kadang-kadang tidak terus menguasai sesuatu tempat, tetapi mereka cuba-cuba dahulu. Bila tidak dikacau, mereka akan ‘membiak’ dan akhirnya terus menguasai kawasan tersebut tanpa disedari oleh masyarakat sekeliling.

Situasi seperti ini bukan hanya berlaku di Setia Alam. Di Puchong Utama, misalnya, ada kawasan dikenali sebagai Maju Jaya yang kini dipenuhi warga asing. Jika penulis ingin mencuci kereta di situ, suasananya seolah-olah seperti berada di Myanmar, jauh daripada suasana asal sebuah kawasan perbandaran di Malaysia yang sepatutnya teratur, bersih dan terurus seperti yang diharapkan penduduk setempat.

Lebih menyedihkan, di tangga-tangga rumah kedai dan pusat cucian kereta, turut dipenuhi dengan ludahan sirih yang meninggalkan imej tidak menyenangkan serta mencerminkan kurangnya penjagaan kebersihan ruang awam. Keadaan ini bukan sahaja mencacatkan pemandangan tetapi juga memberi gambaran seolah-olah tiada kawalan yang berkesan di kawasan tersebut, sekali gus menimbulkan rasa kurang selesa kepada pengunjung.

Perkara ini mudah sahaja untuk difahami. Jangan biarkan mereka bertapak.

Kita sering marah apabila isu besar seperti binaan haram dibangkitkan, tetapi pada masa sama tidak sedar ada kawasan yang sudah dikuasai warga asing dengan pelbagai struktur dan aktiviti sehingga menimbulkan kegusaran kepada penduduk setempat yang semakin terhimpit.

Dalam hal ini, pihak berkuasa tidak boleh bersikap sambil lewa. Jangan biarkan warga asing mula menapak, kerana bermula dengan menumpang, lama-kelamaan rakyat sendiri yang akhirnya terasa seperti menumpang di negara sendiri.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!