Malaysia bukan negara koboi

Baru-baru ini, media melaporkan satu kejadian tembakan yang berlaku di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi mengorbankan tiga individu. Gambar hiasan
Baru-baru ini, media melaporkan satu kejadian tembakan yang berlaku di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi mengorbankan tiga individu. Gambar hiasan
A
A
A

GAMBARAN Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni serta jauh daripada ancaman keganasan bersenjata kini sudah berubah. Masyarakat hidup dalam suasana saling mempercayai dan konflik jarang sekali berakhir dengan pertumpahan darah.

Namun kini, aspek keselamatan mula dipersoalkan. Insiden demi insiden melibatkan penggunaan senjata api mula mencetuskan kebimbangan, seolah-olah nyawa orang awam semakin rapuh dan mudah terancam.

Baru-baru ini, media melaporkan satu kejadian tembakan yang berlaku di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi mengorbankan tiga individu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, dalam kenyataan berkata, kesemua mangsa berusia lingkungan 37 hingga 63 tahun dipercayai ditembak menggunakan senjata api jenis shotgun serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Abdul, 33, yang juga peniaga pula berkata, kejadian bermula dengan perang mulut melibatkan beberapa individu di sebuah premis makanan yang terletak kira-kira 50 meter dari premisnya, sebelum keadaan menjadi tegang dan bertukar kepada pergaduhan fizikal.

Kejadian ini mencetuskan persoalan besar dalam kalangan masyarakat iaitu bagaimana senjata api boleh berada di tangan individu yang tidak bertanggungjawab?

Lebih membimbangkan, ia digunakan secara spontan dalam situasi konflik biasa, seperti pergaduhan atau perselisihan faham. Ini menunjukkan bahawa kawalan emosi semakin lemah, dan nilai rasional dalam menyelesaikan konflik semakin terhakis.

Mungkin ramai masih ingat dengan kes melibatkan seorang rakyat Malaysia dilaporkan meninggal dunia selepas parah ditembak di sebuah rumah di Sungai Golok, Thailand pada November tahun lalu.

Mangsa, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang berasal dari Kampung Kepas Apam di sini, meninggal dunia pada jam 9 malam ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok selepas ditembak sebanyak lapan kali.

Artikel Berkaitan:

Ibunya, Zaiton Abdul Rahman, 64, berkata, dia dimaklumkan tentang kematian anaknya itu oleh menantu, Wan Fatihah Mat Hussin, 35, kira-kira jam 9 malam.

Kebimbangan masyarakat terhadap isu ini berasaskan realiti. Orang ramai kini berasa tidak selamat walaupun berada di tempat awam seperti kedai makan atau kawasan perniagaan. Ketakutan bahawa sebarang pertikaian kecil boleh bertukar menjadi tragedi bersenjata mula menghantui kehidupan seharian. Ini secara tidak langsung menjejaskan kesejahteraan sosial dan keyakinan terhadap tahap keselamatan negara.

Dalam menangani isu ini, tindakan tegas dan menyeluruh perlu diambil oleh kerajaan serta pihak berkuasa. Kawalan terhadap pemilikan dan penyeludupan senjata api perlu diperketatkan.

Selain itu, hukuman yang lebih berat terhadap kesalahan melibatkan senjata api juga wajar dipertimbangkan sebagai langkah pencegahan.

Perlu ingat penguatkuasaan undang-undang yang tegas bukan sahaja menghukum, tetapi juga memberi mesej jelas bahawa keganasan bersenjata tidak akan ditoleransi sama sekali.

Siapa lagi yang akan menjadi mangsa seterusnya sekiranya isu penggunaan senjata api tidak ditangani segera? Apa jadi jika peluru seterusnya menuju pada ahli keluarga atau orang yang tersayang?

Negara ini bukan negara koboi, di mana konflik diselesaikan dengan hujung senjata. Negara kita ada undang-undang. Apa yang dibimbangi ialah jika tiada tindakan drastik diambil, tidak mustahil lebih ramai individu tidak bersalah akan menjadi korban kepada amarah yang tidak terkawal dan akses mudah kepada senjata api.

Satu lagi persoalan yang timbul ialah, bagaimana senjata boleh berada di tangan yang tidak sepatutnya, lalu menukar konflik biasa menjadi tragedi berdarah.

*Mukhriz Mat Husin ialah Wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!