[VIDEO] Hai-O bawa rasa Malaysia ubat rindu jemaah haji di Tanah Suci

A
A
A

MAKKAH – Tempoh berada di Tanah Suci antara 45 hingga 50 hari bukanlah satu jangka masa yang singkat buat jemaah haji Malaysia.

Selain cabaran fizikal ketika menunaikan ibadah, rasa rindu terhadap tanah air khususnya makanan tempatan turut menjadi cabaran emosi kepada sebahagian jemaah.

Menyedari hakikat itu, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Hairuddin Omar, 46, atau lebih dikenali sebagai Hai-O, tampil mengambil inisiatif membawa cita rasa Malaysia terus ke bumi Makkah bagi mengubat kerinduan para jemaah.

Menurutnya, idea tersebut tercetus selepas beliau sendiri datang menunaikan umrah dan mendengar keluhan jemaah yang sukar mendapatkan makanan bercitarasa asli Malaysia.

“Bila makanan yang biasa dimakan dapat dinikmati di sini, jemaah akan rasa lebih selesa dan tidak terlalu rindu kampung halaman.

“Apabila soal makan minum tidak menjadi masalah, mereka boleh memberi fokus sepenuhnya kepada ibadah,” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Hai-O melayan sebahagian jemaah Malaysia yang mengunjungi Cafe Citarasa Malaysia di Makkah. FOTO: TH
Hai-O melayan sebahagian jemaah Malaysia yang mengunjungi Cafe Citarasa Malaysia di Makkah. FOTO: TH

Antara menu yang menjadi pilihan ramai ialah nasi lemak, mi kari dan roti canai yang disediakan setiap hari.

Artikel Berkaitan:

Malah, hidangan tradisi seperti nasi dagang, nasi kerabu, lontong dan asam pedas turut disediakan secara bergilir bagi memberi variasi kepada pelanggan.

Tidak ketinggalan, pelbagai jenis sambal serta kicap turut disediakan sebagai pelengkap selera rakyat Malaysia.

Hairuddin berkata, fokus utama perkhidmatan itu ialah menyediakan sarapan pagi terutama kepada jemaah Muassasah.

Katanya, kebiasaannya Tabung Haji (TH) menyediakan makan tengah hari dan makan malam, namun bagi sarapan pagi jemaah perlu mendapatkannya sendiri.

“Operasi kami bermula seawal jam 4 pagi hingga 10 malam supaya jemaah yang pulang dari solat Subuh di Masjidil Haram atau surau hotel boleh terus menikmati makanan panas,” ujarnya.

Menurut beliau, semua hidangan dimasak di dapur pusat atau Central Kitchen yang terletak di Kudai sebelum dihantar ke kafe serta hotel-hotel penginapan jemaah termasuk Hotel Abraj Al-Janadriyah yang menempatkan kira-kira 5,000 jemaah Malaysia.

Hai-O
Hai-O

Katanya, operasi makanan di Arab Saudi perlu mematuhi piawaian keselamatan makanan yang sangat ketat ditetapkan pihak berkuasa negara itu.

“Dapur mesti mengikut spesifikasi ditetapkan termasuk mempunyai sijil HACCP bagi memastikan makanan yang disediakan bersih, sihat dan selamat dimakan,” katanya.

Bagi mengekalkan rasa asli Malaysia, beliau berkata, sebahagian bahan mentah terutama rempah-ratus khas untuk nasi dagang dan nasi kerabu dibawa terus dari Malaysia kerana sukar diperoleh di Arab Saudi.

Walaupun berdepan cabaran kos dokumentasi pekerja serta logistik, Hairuddin menegaskan keutamaan mereka adalah memastikan tetamu ALLAH mendapat perkhidmatan terbaik.

“Bagi kami, makanan bukan sekadar mengalas perut, tetapi juga menjadi penawar rindu dan penguat semangat jemaah sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!