UMNO hormati keputusan ADUN BN, terus sokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO berpendirian untuk menghormati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun namun terus menyokong Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

Isu tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO yang berlangsung pada 29 April 2026.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO telah mendengar penjelasan tuntas daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, tindakan ADUN itu diambil kerana sikap Menteri Besar membelakangkan Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.

"UMNO juga memandang serius perkembangan mutakhir yang melibatkan krisis Institusi Raja dan Adat Negeri Sembilan sehingga mencetuskan polemik besar dan salah faham serius dalam kalangan anggota komponen parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.

"Antara ketetapan lain yang dibincangkan adalah satu pertemuan segera antara Biro Politik UMNO dan Biro Politik Pakatan Harapan harus diadakan bagi merungkai beberapa isu yang melibatkan prinsip-prinsip perjuangan parti masing-masing.

"Ini seiring dengan Klausa 5(c) Perjanjian Persefahaman dalam Membentuk Kerajaan Perpaduan yang menuntut segala isu dasar yang diperselisihkan diselesaikan dalam Majlis Perundingan," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, kesemua 14 ADUN BN Negeri Sembilan sebulat suara mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan itu dibuat susulan krisis yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Tambah Asyraf Wajdi, UMNO sentiasa berpegang teguh kepada asas perlembagaan parti itu menurut Fasal 3.1 yang sentiasa mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kedaulatan Negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!