PN selar cadangan potong bajet KKM, KPT

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menzahirkan kebimbangan serius terhadap cadangan Kementerian Kewangan untuk memotong peruntukan operasi kerajaan berjumlah RM10 bilion daripada keseluruhan Bajet 2026.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu amat mengecewakan kerana ia membabitkan pengurangan dana yang besar terhadap dua sektor kritikal iaitu Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Beliau berkata, cadangan itu membabitkan potongan sebanyak RM3.06 bilion bagi KKM dan RM2.39 bilion bagi KPT, sekali gus menunjukkan kerajaan seolah-olah hilang pertimbangan dalam menentukan keutamaan rakyat.
"Hanya kira-kira enam bulan lepas, Bajet 2026 menetapkan peruntukan sebanyak RM46.5 bilion kepada KKM dan RM18.6 bilion untuk KPT.
"Namun hari ini, KKM dijangka berdepan kekurangan dana operasi lebih enam peratus, sementara KPT bakal menghadapi potongan lebih besar sehingga 12 peratus," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Takiyuddin berkata, pengurangan peruntukan itu akan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat memandangkan KKM kini sedang berdepan tekanan besar untuk menyediakan ubat-ubatan, vaksin dan keperluan habis pakai yang dianggarkan mencecah RM6 bilion.
Ujarnya, angka berkenaan tidak termasuk keperluan RM1.2 bilion untuk tujuan penyelenggaraan serta naik taraf hospital dan klinik di seluruh negara.
"Pengurangan peruntukan hanya akan memburukkan lagi isu tempoh menunggu yang panjang, kesesakan dan penangguhan naik taraf, selain meningkatkan tekanan ke atas petugas kesihatan yang sudah sedia terbeban," ujarnya lagi.
Mengulas mengenai impak terhadap sektor pendidikan tinggi, beliau menjelaskan potongan dana KPT akan menjejaskan penyelenggaraan infrastruktur universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.
Malah, ia turut melibatkan peruntukan RM4.4 bilion yang dikhaskan untuk biasiswa, pinjaman dan bantuan pendidikan kepada pelajar kurang mampu.
"Jika kerajaan benar-benar serius menangani isu disiplin fiskal, mereka sepatutnya mendahulukan masalah pembaziran, ketirisan, projek tidak perlu dan lantikan politik, bukannya menyasarkan hospital serta universiti," tegas beliau.
Sehubungan itu, PN menggesa kerajaan menarik balik cadangan berkenaan dan membentangkan rancangan penjimatan yang lebih adil serta pro-rakyat.
"Negara tidak akan maju ke hadapan jika kesihatan awam dikorbankan, manakala generasi muda dikesampingkan bagi menutup kegagalan pengurusan kerajaan sendiri," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

