Ringgit Malaysia kini mata wang paling kukuh di Asia

CNBC Indonesia dalam laporannya pada Rabu menyatakan ringgit Malaysia kini muncul sebagai mata wang paling kukuh di Asia bagi tahun 2026. Gambar hiasan
CNBC Indonesia dalam laporannya pada Rabu menyatakan ringgit Malaysia kini muncul sebagai mata wang paling kukuh di Asia bagi tahun 2026. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – CNBC Indonesia dalam laporannya pada Rabu menyatakan ringgit Malaysia kini muncul sebagai mata wang paling kukuh di Asia bagi tahun 2026, sambil mengingatkan rakyat negara itu agar tidak bersikap iri hati terhadap pencapaian berkenaan.

Menurut laporan itu, prestasi ringgit menjadi tumpuan ketika pasaran global masih dibayangi ketidaktentuan, khususnya susulan konflik di Iran yang berpotensi menjejaskan bekalan tenaga dunia dan meningkatkan harga minyak.

Sejak awal tahun hingga penutupan dagangan pada 28 April 2026, ringgit mencatatkan pengukuhan sebanyak 2.64 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus menjadikannya mata wang berprestasi terbaik di Asia.

Yuan China berada di kedudukan kedua dengan peningkatan 2.23 peratus.

Laporan itu menjelaskan, pengukuhan ringgit disokong oleh prestasi perdagangan Malaysia yang kukuh, pertumbuhan ekonomi yang stabil serta aliran masuk dana asing ke dalam pasaran modal negara.

Berdasarkan data Department of Statistics Malaysia (DOSM), jumlah perdagangan Malaysia pada Mac 2026 meningkat 9.3 peratus kepada RM273.0 bilion berbanding RM249.8 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Eksport meningkat 8.3 peratus kepada RM148.8 bilion, manakala import naik 10.4 peratus kepada RM124.2 bilion.

Lebihan dagangan pula menyusut sedikit sebanyak 0.9 peratus kepada RM24.6 bilion.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan anggaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi 5 peratus bagi suku pertama 2026.

Artikel Berkaitan:

“Ini menunjukkan ekonomi Malaysia berada dalam kedudukan kukuh untuk menghadapi cabaran semasa termasuk kenaikan harga minyak susulan konflik di Iran,” katanya seperti dipetik Bernama.

Tambah laporan itu, aliran masuk dana asing ke pasaran modal Malaysia menjadi antara faktor utama yang mengukuhkan ringgit, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap mata wang berkenaan dalam kalangan pelabur global.

Dengan sokongan tersebut, ringgit dilihat mempunyai asas kukuh untuk mengekalkan prestasi positif walaupun pasaran global masih berdepan ketidaktentuan.

Secara keseluruhan, ringgit turut mengukuh berbanding hampir semua mata wang utama Asia setakat tahun ini.

Pengukuhan tertinggi direkodkan berbanding rupee India sebanyak 8.07 peratus, diikuti peso Filipina (7.31 peratus), rupiah Indonesia (6.76 peratus) dan baht Thailand (6.46 peratus).

Selain itu, ringgit turut mengatasi won Korea Selatan (5.24 peratus), yen Jepun (4.63 peratus), dolar Taiwan (3.57 peratus), dong Vietnam (2.82 peratus) serta dolar Singapura (1.97 peratus).

Bagaimanapun, pengukuhan berbanding yuan China adalah lebih sederhana, iaitu sekitar 0.41 peratus.-Agensi

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!