PEGAWAI tentera yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki warga Bangladesh di Lebuhraya Maju (MEX), 23 April lalu, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan membunuh dan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Tertuduh, Jad Faid Arhan, 31, yang memakai baju kemeja-T berkolar merah dan berseluar jeans, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Ili Marisaa Khalizan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian Muzahid Millad, 22, pada pukul 5.30 pagi di KM1.9 MEX dari Salak Selatan menghala Jalan Tun Razak, 23 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai tentera disyaki mabuk rempuh Alza e-hailing… Pengantin lelaki baru kahwin maut di tempat kejadian
ARTIKEL BERKAITAN: Nahas ragut nyawa lelaki Bangladesh, pegawai tentera berpangkat kapten direman 5 hari
Dia turut berdepan dua lagi pertuduhan kerana memandu melebihi had alkohol sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang penumpang kenderaan e-hailing yang juga isteri mangsa, serta pemandu kenderaan berkenaan.
Tertuduh mengangguk faham sebelum mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan kedua dibacakan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian awal pagi 23 April lalu, tertuduh yang ketika itu memandu kereta jenis Ford Fiesta dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan e-hailing MPV jenis Perodua Alza.
Rempuhan mengakibatkan seorang lelaki warga Bangladesh maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala isterinya yang berusia 20 tahun mengalami kecederaan parah.
Kedua-dua mangsa dilaporkan dalam perjalanan ke ibu negara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki kenderaan e-hailing berkenaan.
Kemalangan turut mengakibatkan pemandu e-hailing berusia 41 tahun cedera.
Untuk rekod, mangsa, Muzahid Millad merupakan seorang pempengaruh permainan video dari Bangladesh yang lebih dikenali sebagai 'Advance Gaming' dengan jumlah pengikut di saluran YouTube melebihi 796,000.


