Empat suspek curi kabel MRT Laluan Putrajaya diberkas

PDRM berkas empat suspek curi kabel MRT Laluan Putrajaya - Gambar hiasan
PDRM berkas empat suspek curi kabel MRT Laluan Putrajaya - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan empat suspek yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya menerusi satu operasi yang dijalankan baru-baru ini.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkata, kejayaan tangkapan tersebut adalah hasil maklumat risikan dan intipan yang digerakkan secara bersama oleh Unit Polis Bantuan Prasarana serta pasukan PDRM dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor.

Menurut Prasarana, kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun itu dibawa ke lokasi kejadian bagi tujuan pengecaman dan membantu siasatan berkaitan barang kes yang ditemui.

“Tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dikemukakan berhubung kejadian kecurian kabel yang berlaku berhampiran Stesen Sri Damansara Barat pada 3 Mac lalu.

“Insiden berkenaan menyebabkan gangguan kepada operasi perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya selama tiga hari sekali gus menimbulkan kesulitan kepada ribuan pengguna pengangkutan awam kendalian kami,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut mengenai kejadian tersebut, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan memaklumkan kerjasama erat antara Unit Polis Bantuan Prasarana dan PDRM akan terus diperkukuhkan melalui usaha pemantauan, intipan serta perkongsian maklumat secara berterusan.

Menurutnya, ia bagi memastikan kegiatan kecurian kabel dapat dibanteras sepenuhnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan PDRM dari IPK Selangor atas tindakan pantas dan profesional dalam memberkas suspek serta membantu mempercepatkan proses siasatan.

“Prasarana pada masa sama akan terus memperkukuhkan langkah keselamatan di sepanjang jajaran MRT Laluan Putrajaya termasuk meningkatkan rondaan keselamatan, pemantauan serta kerjasama strategik dengan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan infrastruktur pengangkutan awam sentiasa terpelihara.

Artikel Berkaitan:

“Orang ramai juga diseru untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan yang boleh menjejaskan keselamatan kemudahan pengangkutan awam negara,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat suspek terlibat dalam kecurian kabel MRT Laluan Putrajaya
  • Tangkapan adalah hasil maklumat risikan dan intipan bersama Unit Polis Bantuan Prasarana dan PDRM
  • Suspek berusia antara 30 hingga 45 tahun dibawa ke lokasi kejadian untuk pengecaman dan membantu siasatan
  • Kecurian menyebabkan gangguan operasi MRT Laluan Putrajaya selama tiga hari, menimbulkan kesulitan kepada pengguna
  • Kerjasama antara Unit Polis Bantuan Prasarana dan PDRM akan diperkukuhkan untuk mencegah kecurian kabel di masa hadapan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!