Wyndham Acmar Klang cipta rekod iftar terbesar di hotel

Christopher (empat dari kiri) menyampaikan sijil MBOR kepada Joshua pada Selasa.
Christopher (empat dari kiri) menyampaikan sijil MBOR kepada Joshua pada Selasa.
A
A
A

KLANG – Wyndham Acmar Klang mencipta rekod apabila hotel itu berjaya menganjurkan majlis iftar terbesar di hotel dengan kehadiran 1,770 tetamu dalam satu malam, sekali gus diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) pada Selasa.

Pencapaian tersebut direkodkan sempena program bufet Ramadan hotel berkenaan pada 17 Mac yang menghimpunkan pelbagai pihak termasuk organisasi korporat, keluarga dan kumpulan komuniti untuk bersama-sama berkongsi kemeriahan berbuka puasa.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Acmar, Joshua Tee berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan dedikasi seluruh pasukan hotel selain sokongan padu daripada para tetamu dan rakan korporat yang menjayakan program berkenaan.

Menurutnya, majlis tersebut turut memperlihatkan bagaimana bulan Ramadan menjadi platform menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dalam suasana penuh harmoni.

Wyndham Acmar Klang mencipta rekod apabila hotel itu berjaya menganjurkan majlis iftar terbesar di hotel dengan kehadiran 1,770 tetamu dalam satu malam.
Wyndham Acmar Klang mencipta rekod apabila hotel itu berjaya menganjurkan majlis iftar terbesar di hotel dengan kehadiran 1,770 tetamu dalam satu malam.

“Pencapaian ini mencerminkan dedikasi seluruh pasukan kami serta sokongan padu daripada tetamu dan rakan korporat.

“Sungguh bermakna melihat keluarga, rakan dan organisasi bersatu dalam satu majlis besar untuk berkongsi semangat Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sijil MBOR oleh Ketua Pegawai Eksekutif MBOR, Christopher Wong kepada Joshua di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han; Pengarah Urusan Kumpulan, Acmar Group, Datuk Steven Tee, JP; Pengurus Operasi, Penyelidikan dan Pemasaran MBOR, Edwin Yeoh Tiong Chin; Pengurus Besar, Ketua Hal Ehwal Kawal Selia Korporat, Muhammad Zali Md Sah; Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Acmar Group, Johnson Tee dan Pengurus Besar, Hotel Wyndham Acmar Klang, Datin Sheena Mak.

Sementara itu, Sze Han menyifatkan pencapaian tersebut sebagai satu kejayaan membanggakan bagi industri pelancongan negeri.

Menurutnya, rekod berkenaan bukan sahaja mencerminkan keupayaan sektor hospitaliti, malah menggambarkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Selangor.

“Ini merupakan satu pencapaian yang dapat dibanggakan untuk industri pelancongan di Selangor kerana ia adalah rekod terbaharu bagi majlis iftar di hotel.

“Saya nampak suasana ini cukup baik apabila semua kaum berada di sini untuk berbuka puasa bersama. Ini menunjukkan keharmonian rakyat Selangor,” katanya.

Sze Han (tengah) turut meraikan kejayaan Wyndham Acmar Klang bersama pengurusan tertinggi hotel itu.
Sze Han (tengah) turut meraikan kejayaan Wyndham Acmar Klang bersama pengurusan tertinggi hotel itu.

Beliau turut menggalakkan lebih banyak pemain industri pelancongan khususnya hotel untuk tampil mencipta rekod dan inisiatif seumpamanya.

“Saya menggalakkan lebih banyak hotel mencipta rekod sebegini supaya kita dapat menjadikan nama Selangor lebih popular dalam industri pelancongan,” ujarnya.

Majlis berkenaan merupakan sebahagian daripada program bufet Ramadan hotel bertemakan “Santapan Jalur Sutera”, yang menampilkan perjalanan kulinari diinspirasikan daripada Laluan Sutera bersejarah.

Konsep tersebut menggabungkan kepelbagaian rasa dari Malaysia, Timur Tengah, Asia Tengah dan negara jiran, sekali gus meraikan warisan budaya serta semangat kebersamaan sepanjang bulan Ramadan.

Bufet berkenaan turut menampilkan lebih 1,000 jenis hidangan termasuk pelbagai menu pelengkap yang disediakan di beberapa stesen masakan secara langsung oleh pasukan chef hotel.

Sepanjang dua tahun sebelum ini, Wyndham Acmar Klang secara konsisten merekodkan kehadiran lebih 1,000 tetamu setiap malam sepanjang beberapa malam Ramadan pada tahun 2024 dan 2025.

Bagi edisi tahun ini, sambutan yang diterima lebih menggalakkan apabila beberapa malam mencatatkan kehadiran antara 1,400 hingga 1,700 tetamu, sekali gus membawa kepada pencapaian rekod baharu tersebut.

Malam yang mencatat rekod itu memerlukan perancangan operasi yang rapi melibatkan pasukan kulinari dan perkhidmatan bagi memastikan pengalaman santapan berjalan lancar serta berkualiti.

Pada majlis sama, papan plak Malaysia Book of Records turut disampaikan kepada Joshua Tee sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian tersebut.

Dalam perkembangan sama, Wyndham Acmar Klang turut diiktiraf sebagai ASEAN MICE Venue 2024–2026 bagi kategori bilik mesyuarat, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai lokasi utama bagi penganjuran mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran.

Ringkasan AI

  • Wyndham Acmar Klang mencipta rekod majlis iftar terbesar di hotel dengan kehadiran 1,770 tetamu
  • Pencapaian tersebut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records
  • Majlis berkenaan merupakan sebahagian daripada program bufet Ramadan hotel bertemakan "Santapan Jalur Sutera"
  • Bufet menampilkan lebih 1,000 jenis hidangan termasuk pelbagai menu pelengkap
  • Wyndham Acmar Klang juga diiktiraf sebagai ASEAN MICE Venue 2024–2026 bagi kategori bilik mesyuarat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!