Budak enam tahun lemas jatuh terusan

Anggota bomba melakukan pencarian mangsa yang terjatuh ke dalam Terusan Sungai Dua di Jalan Bertam Perdana 2 pada Khamis.
Anggota bomba melakukan pencarian mangsa yang terjatuh ke dalam Terusan Sungai Dua di Jalan Bertam Perdana 2 pada Khamis.
A
A
A

KEPALA BATAS - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun lemas selepas terjatuh ke dalam Terusan Sungai Dua di Jalan Bertam Perdana 2, di sini pada Khamis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mayat Muhammad Aryan Hakim Muhammad Jamaluddin ditemukan terapung kira-kira tiga kilometer dari lokasi kanak-kanak itu dilaporkan terjatuh.

Beliau berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan pada jam 5.03 petang sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bertam serta Kepala Batas ke lokasi kejadian.

"Ketika kejadian mangsa dikatakan bermain dengan seorang rakan di gigi air (tepi terusan) sebelum tergelincir dan jatuh ke dalam terusan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

John Sagun berkata, komander operasi membuat penilaian awal seterusnya menjalankan kerja mencari dan menyelamat dengan kaedah pencarian di permukaan air sebelum dimaklumkan orang awam pada jam 5.29 petang mengatakan mangsa telah dijumpai hanyut dan terapung.

Beliau berkata, pasukan operasi kemudian terjun ke dalam terusan itu bagi menyelamatkan mangsa dan memberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum kanak-kanak itu diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk tindakan lanjut.

Difahamkan bedah siasat anak bongsu daripada empat beradik itu akan dilakukan 9 pagi esok di Unit Forensik Hospital Kepala Batas (HKB).

Solat jenazah pula akan dilaksanakan di Masjid Abdullah Fahim selepas solat Jumaat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Berpusat daerah Seberang Perai Utara (SPU) di Permatang Langsat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tinjauan di pekarangan Unit Forensik HKB mendapati ibu bapa Muhammad Aryan Hakim yang tidak dapat menahan kesedihan cuba ditenangkan ahli keluarga ketika mereka hadir bagi melakukan pengecaman mayat. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!