'Geng Daud' aktif curi kabel telekomunikasi tumpas

Sarudin (kiri), bersama pegawainya menunjukkan tembaga yang dirampas dalam serbuan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Selama, pada Isnin. Foto Bernama
Sarudin (kiri), bersama pegawainya menunjukkan tembaga yang dirampas dalam serbuan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Selama, pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

LARUT - Polis menumpaskan "Geng Daud” yang aktif mencuri kabel telekomunikasi di sekitar daerah Selama sejak awal tahun ini dengan penahanan empat lelaki termasuk ketua kumpulan berkenaan, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Selama, Superintenden Sarudin Samah berkata, tiga lelaki tempatan dan seorang warga asing berusia lingkungan 30 hingga 48 tahun itu ditahan di lokasi berasingan sekitar Batu Kurau dan Hutan Melintang antara 2 hingga 7 April lepas.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada pekerja syarikat telekomunikasi mengenai kejadian kecurian kabel dan peralatan pencawang telekomunikasi pada 28 Februari lepas.

"Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan tiga lelaki termasuk seorang warga asing yang disyaki terbabit dengan kes kecurian berkenaan pada 2 April.

"Hasil siasatan terhadap mereka, polis menahan seorang lagi lelaki disyaki ketua ahli kumpulan berkenaan di Hutan Melintang, Bagan Datuk pada 7 April. Suspek baru dibebaskan dari penjara berkaitan dengan kes dadah, " katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Selama di sini pada Isnin.

Sarudin berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan yang juga pembeli barangan curi berkenaan pada 3 April.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati tiga ahli kumpulan itu mempunyai rekod berkaitan kes jenayah dan dadah manakala suspek warga asing dan pembeli kabel curi tidak mempunyai sebarang rekod.

"Berdasarkan soal siasat, kegiatan curi kabel yang sering dilakukan pada waktu awal pagi itu adalah untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.

"Mereka (suspek) belajar menerusi media sosial mengenai cara-cara memotong kabel talian telekomunikasi serta mengubah suai peralatan memotong kabel bagi mengelak renjatan elektrik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sarudin berkata, pihaknya turut merampas sebuah Proton Waja yang disyaki digunakan kumpulan berkenaan semasa melakukan jenayah terbabit selain gulungan wayar tembaga, resit catatan jualan barang lusuh, pemotong besi dan pisau.

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!