Restoran Hakim buka kafe di UiTM Shah Alam

SHAH ALAM - Rangkaian restoran mamak terkenal, Restoran Hakim Sdn Bhd memperluas operasi perniagaannya dengan membuka cawangan baharu dinamakan Hakim Cafe di Kafeteria Kompleks Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada Khamis.
Pengarah Urusannya, Hakimsa Abdul Karim berkata, pemilihan lokasi itu dibuat berdasarkan pengalaman lebih 27 tahun dalam bidang perniagaan selain melihat potensi besar dalam kalangan pelajar dan warga universiti.
Menurutnya, sebahagian besar pelanggan sedia ada di restorannya sebelum ini juga terdiri daripada penuntut dan kakitangan UiTM.
"Rangkaian restoran kami terletak di Seksyen 7 dan sudah menjadi kebiasaan pelanggan tetap dalam kalangan warga UiTM.
"Kami bersedia membuka sebuah lagi restoran dalam kampus UiTM dengan menawarkan harga berpatutan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pembukaan Hakim Cafe di Pusat Sukan UiTM Shah Alam pada Khamis yang dirasmikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Penasihat Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.
Mengulas lanjut, Hakimsa menegaskan aspek harga dan kualiti makanan sentiasa menjadi keutamaan khususnya bagi memenuhi keperluan golongan pelajar.
"Saya menjaga harga kerana ini kawasan pelajar. Kita tidak boleh sesuka hati menaikkan harga," jelas beliau.
Beliau berkata, pembukaan kafe itu turut menekankan prinsip perniagaan berteraskan integriti dan tanggungjawab.
Ujarnya, operasi Hakim Cafe kini banyak diuruskan oleh generasi kedua selaras dengan perancangannya untuk berundur secara berperingkat.
“Saya kini mula berehat dan menyerahkan operasi kepada anak-anak, sambil menasihati mereka agar terus menjaga kualiti dan amanah dalam perniagaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
