RM230 juta diseleweng bukan dari zakat tapi sumbangan pelbagai pihak kepada NGO - SPRM

Azam Baki. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Azam Baki. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM -Penyelewengan berjumlah kira RM230 juta membabitkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak membabitkan sumber dana daripada badan zakat, sebaliknya diseleweng daripada sumbangan yang diberikan pelbagai pihak dan sumber kepada pertubuhan berkenaan.

Sebahagian sumbangan yang diseleweng itu juga dipercayai termasuklah kutipan yang seharusnya disalurkan kepada badan zakat sebuah negeri.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, isu penyelewengan terbaharu membabitkan sebuah NGO berkenaan setakat ini tidak membabitkan mana-mana institusi zakat di negara ini.

"Dalam siasatan terkini SPRM, NGO ini menerima dana sumbangan daripada pelbagai pihak dan sumber termasuklah komisen yang diperolehi daripada kutipan tertentu untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

“Bagaimanapun dana ini tidak sampai ke tujuan yang sepatutnya, sebaliknya ada dalam kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab menyeleweng dana-dana ini untuk kepentingan peribadi termasuk membeli aset-aset mewah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, siasatan masih berjalan dan pihaknya sedang memperluas skop siasatan.

Jelasnya, SPRM komited untuk terus memastikan ketelusan dan kebertanggungnjawaban dalam setiap proses semakan serta siasatan yang dijalankan selaras dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik.

Sebelum itu, dua termasuk seorang timbalan pengerusi NGO direman untuk siasatan kes terbabit.

Perintah reman selama empat hari sehingga 25 April terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an itu telah ditahan berasingan antara jam 3 dan 5 petang Selasa dalam satu operasi yang dijalankan SPRM Selangor sekitar Lembah Klang.

Media sebelum itu melaporkan penahanan tiga individu termasuk timbalan pengerusi NGO terbabit

Siasatan awal mendapati kesemua suspek yang juga dua daripadanya merupakan pengarah syarikat disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2018 hingga 2024.

Siasatan turut mendapati timbalan NGO tersebut telah memindahkan RM230 juta tersebut ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan juga tujuan peribadi.

Siasatan SPRM kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO tersebut merupakan sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan membantu golongan yang memerlukan.

Dalam operasi tersebut, SPRM turut menyita 18 unit kenderaan mewah antaranya Porsche dan Mercedes; rumah juga hartanah bernilai kira-kira RM11 juta serta pelbagai harta alih lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama.

Selain itu, SPRM turut membekukan 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM120 juta.

Kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!