Tidak puas hati kesesakan ketika solat Jumaat punca suspek cetus isu Surau Taman Seraya

SHAH ALAM – Ketidakpuasan hati terhadap kesesakan lalu lintas ketika pelaksanaan solat Jumaat dipercayai menjadi punca seorang individu bertindak mencetuskan kontroversi berkaitan Surau Taman Seraya, Ampang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati tindakan suspek adalah bersifat individu dan tidak melibatkan sebarang pengaruh luar.
Menurutnya, lelaki tempatan berusia 46 tahun yang tidak bekerja itu telah ditahan pada Ahad dan kini direman bagi membantu siasatan lanjut.
"Berkaitan isu Surau Taman Seraya di Ampang, tangkapan telah dijalankan dan suspek kini sedang ditahan reman.
"Siasatan awal mendapati tindakan suspek lebih tertumpu kepada ketidakpuasan hati ekoran kesesakan lalu lintas yang berlaku, contohnya semasa solat Jumaat dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak polis bagaimanapun masih meneruskan siasatan dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti sekiranya terdapat elemen lain yang terlibat.
"Setakat ini, tindakan suspek dilihat bersifat individu dan tidak melibatkan mana-mana pihak luar.
"Namun, siasatan masih berjalan dan kita meneliti pelbagai aspek termasuk kemungkinan wujud faktor lain," ujarnya.
Sementara itu, Shazeli berkata, kes berkenaan masih berada di bawah tahanan reman dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya sebaik sahaja siasatan lengkap.
"Insya-Allah, selepas siasatan selesai, kita akan rujuk kepada pejabat pendakwa raya untuk mendapatkan nasihat serta arahan lanjut," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki mencetuskan kontroversi berkaitan isu agama di Surau Taman Seraya sebelum ditahan polis di Pandan Indah kira-kira jam 3 petang, Ahad lalu.
Kes disiasat susulan dakwaan ingkar perintah Sultan Selangor berhubung pelaksanaan solat Jumaat di surau berkenaan.
Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan AJK Surau Taman Seraya membuat 10 laporan polis berkaitan dakwaan gangguan melibatkan seorang penduduk di kawasan tersebut.
Pengerusi Surau Taman Seraya, Abdullah Sulaiman, dilaporkan berkata laporan itu dibuat bukan bertujuan mencetuskan sebarang konflik, sebaliknya bagi menangkis dakwaan fitnah terhadap surau berkenaan.
Antara perkara yang dibangkitkan ialah dakwaan bahawa laungan azan yang berkumandang ketika ini mengganggu individu terbabit, selain dia meminta agar solat Jumaat yang telah dilaksanakan sejak 15 November 2019 dihentikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

