[VIDEO] 'Saya redah longkang, ikut laluan air dengan harapan dapat jumpa anak'
KUALA SELANGOR - "Saya redah longkang, ikut laluan air dengan harapan dapat jumpa anak saya walau apa pun keadaannya."
Demikian luahan Khaizalullinordin Nordin, 45, yang sanggup mempertaruhkan nyawa meredah longkang sejauh lebih 100 meter demi mencari anak sulungnya yang dipercayai dihanyutkan arus deras dalam kejadian petang Selasa.
Mangsa, Khairil Izani Khaizalullinordin, 10, dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang berhampiran padang permainan di sebuah taman perumahan di Lorong Cakera Purnama 12/30, Taman Fasa 3 Puncak Alam di sini.
Menurut Khaizalullinordin, berdasarkan maklumat rakan-rakan anaknya, kejadian dipercayai berlaku antara jam 3 hingga 3.30 petang ketika mangsa bermain di kawasan tersebut.
"Ada longkang dekat kawasan itu yang menjadi tempat budak-budak bermain gelongsor, difahamkan mereka akan turun dan meluncur berulang kali di situ.
"Namun pada hari kejadian, hujan turun dengan sangat lebat menyebabkan air dari kawasan sekitar mengalir deras dan dipercayai terus menghanyutkan anak saya,” katanya ketika ditemui di pusat kawalan operasi di sini pada Rabu.

Katanya, dia hanya mengetahui kejadian tersebut kira-kira jam 6.30 petang selepas dimaklumkan oleh ahli keluarga.
"Saya terus ke lokasi dan tiba sekitar jam 7 malam, tetapi ketika itu masih belum ada operasi mencari dijalankan.
"Saya kemudian menghubungi pihak bomba dan polis sebelum bersama beberapa rakan memulakan pencarian dengan menyusuri laluan longkang serta lubang-lubang saliran," katanya.
Dalam usaha tersebut, dia sendiri turun ke dalam longkang dan meredah aliran air bagi menjejaki laluan mangsa dihanyutkan.
"Saya tidak fikir apa-apa ketika itu, saya hanya ikut laluan air dengan harapan dapat menemui anak saya," katanya.
Khaizalullinordin turut memaklumkan bahawa kelewatan maklumat daripada rakan-rakan anaknya menyebabkan keluarga hanya mengetahui kejadian tersebut pada waktu yang agak lewat.
"Seorang rakannya datang ke rumah dan memaklumkan perkara itu kepada isteri saya manakala saya berada di tempat kerja.
"Dalam keadaan arus deras, saya terfikir dia mungkin cuba berpaut pada apa sahaja di dalam longkang, tetapi tidak mampu bertahan. Saya reda dan berharap jasad anak saya dapat ditemui secepat mungkin,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor meluaskan radius pencarian sejauh 5 kilometer dalam usaha pencarian kanak-kanak yang dipercayai lemas dihanyutkan arus deras selepas terjatuh dalam longkang di sini.
Operasi turut disertai Pasukan Penyelamat Di Air (PDA) dan unit K9 JBPM Selangor, polis serta penduduk sekitar.
Terdahulu, mangsa berusia 10 tahun itu dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras di Lorong Cakera Purnama, Bandar Puncak Alam petang Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

