Bolehkah jurutera di Malaysia dipercayai?

TANPA disedari kehidupan seharian kita amat bergantung kepada keputusan teknikal yang dibuat oleh komuniti kejuruteraan. Daripada sistem penjanaan tenaga, rangkaian telekomunikasi, sistem rawatan air, industri pembuatan, sehinggalah kepada teknologi digital dan pusat data, kesemuanya berada dalam domain kejuruteraan.
Namun di sebalik peranan besar ini, satu persoalan sering timbul: sejauh manakah jurutera di Malaysia boleh dipercayai?
Jawapannya tidak terletak pada andaian atau gelaran semata-mata, sebaliknya berasaskan kepada sistem kawal selia profesional yang mantap di bawah Lembaga Jurutera Malaysia (LJM), sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kerja Raya yang ditubuhkan melalui Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Akta 138).
Setakat ini, Malaysia mempunyai kira-kira 290,000 individu berdaftar dalam ekosistem kejuruteraan di bawah LJM, merangkumi pelbagai peringkat kompetensi dan peranan profesional.
Ini termasuk Pemeriksa Bertauliah, Jurutera Profesional dengan Perakuan Amalan, Jurutera Profesional, Jurutera Siswazah, Teknologi Kejuruteraan serta Pemeriksa Tapak yang memainkan peranan penting dalam memastikan reka bentuk dan pelaksanaan projek memenuhi standard keselamatan dan profesionalisme tertinggi.
Selain itu, lebih 4,000 syarikat amalan perunding kejuruteraan turut berdaftar dengan LJM, memastikan setiap perkhidmatan yang ditawarkan mematuhi standard teknikal, profesional dan etika yang ditetapkan demi menjamin kepentingan dan keselamatan awam serta integriti profesion.
Dalam aspek pendidikan, LJM memainkan peranan penting dalam akreditasi program kejuruteraan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Terdapat 200 program kejuruteraan aktif di 59 IPT awam dan swasta, 95 program teknologi kejuruteraan di peringkat ijazah di 21 IPT, serta 299 program diploma teknologi kejuruteraan di 82 IPT di seluruh negara.
Malaysia juga merupakan penandatangan kepada Permuafakatan Washington (Washington Accord), Permuafakatan Sydney (Sydney Accord) dan Permuafakatan Dublin (Dublin Accord), yang memastikan hanya program yang memenuhi piawaian antarabangsa diiktiraf, sekali gus melahirkan graduan berkualiti selaras dengan keperluan industri dan standard global.
Keseluruhan sistem ini berasaskan kepada Akta 138, yang menjadi tunjang perundangan profesion kejuruteraan di Malaysia. Akta ini menetapkan syarat pendaftaran, kawalan amalan serta tanggungjawab profesional jurutera dalam melaksanakan tugas kepada masyarakat.
Seiring dengan perubahan teknologi dan keperluan industri, Akta 138 kini sedang melalui proses semakan dan pindaan. Antara fokus utama pindaan adalah untuk memperkukuh penguatkuasaan LJM dalam aspek pematuhan amalan profesional kejuruteraan serta pematuhan kepada Skala Yuran Perkhidmatan Profesional Kejuruteraan.
Untuk menjadi Jurutera Profesional, laluan yang disediakan adalah jelas dan berstruktur di bawah seliaan LJM. Calon perlu melalui penilaian kompetensi yang ketat, termasuk Peperiksaan Penilaian Profesional Berasaskan Hasil (PAE OBE) merentasi pelbagai disiplin kejuruteraan.
Proses ini memastikan hanya individu yang benar-benar kompeten, berpengalaman dan beretika diiktiraf sebagai jurutera profesional.
LJM turut menyediakan pelbagai program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) seperti latihan, taklimat teknikal, seminar dan webinar secara berkala bagi memastikan jurutera sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri semasa.
Hakikatnya, kepercayaan terhadap jurutera di Malaysia tidak terbina secara kebetulan atau berdasarkan persepsi umum. Ia lahir daripada satu ekosistem yang menyeluruh, bermula daripada pendidikan yang diiktiraf, pendaftaran profesional, pembangunan kompetensi berterusan, sehinggalah kepada penguatkuasaan undang-undang yang berkesan.
Justeru, apabila persoalan 'Bolehkah jurutera di Malaysia dipercayai?' dibangkitkan, jawapannya adalah jelas.
Kepercayaan itu wujud kerana profesion ini tidak dibiarkan bergerak sendiri. Ia dibina, dipantau dan diperkukuh secara berterusan oleh Lembaga Jurutera Malaysia serta keseluruhan ekosistem kejuruteraan negara, bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak memikul amanah terhadap keselamatan rakyat dan pembangunan negara.
* Laksamana Pertama (B) Datuk Ir (Dr) Ahmad Murad Omar, Chairman, Working Group on Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) Outreach & Member, Corporate Communication Committee,
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
